Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPKT: Tapak khemah seluruh negara perlu jalani proses pemutihan

PARLIMEN | Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melihat terdapat keperluan untuk menjalankan proses pemutihan tapak perkhemahan di seluruh negara susulan insiden meragut nyawa yang berlaku di Batang Kali, Selangor akhir tahun lepas.

Timbalan menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ia bagi memastikan tapak perkhemahan sedia ada memenuhi syarat pengoperasian seperti digariskan dalam Draf Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan yang akan dimuktamadkan akhir bulan depan.

“Untuk maklumat, kerajaan Selangor sebenarnya telah laksana pemutihan tapak perkhemahan ini terhadap pengusaha yang beroperasi sebelum 15 Mac.

“Mereka yang dah beroperasi sekarang ini perlu daftar dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan permit bangunan sementara untuk menjalankan operasi, tetapi kita perlu beri tempoh dan dalam kes di Selangor, mereka diberi ruang selama dua tahun untuk memenuhi syarat yang ditetapkan dalam garis panduan itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) mengenai tindakan kementerian terhadap pengusaha tapak perkhemahan sedia ada bagi memastikan mereka memenuhi garis panduan yang bakal dimuktamadkan kelak.

Justeru, dia berharap kerajaan negeri yang lain dapat menjalankan proses pemutihan yang sama bagi memastikan tapak perkhemahan yang disediakan selamat untuk digunakan.

Menjawab soalan asal Gobind berkenaan GPP Tapak Perkhemahan, Akmal berkata ia memberikan fokus kepada aktiviti perkhemahan jenis asas iaitu perkhemahan menggunakan khemah yang didirikan di kawasan semula jadi dengan kemudahan asas minimum serta kelengkapan, peralatan dan makanan yang perlu dibawa sendiri peserta.

Katanya, antara aspek penting berkaitan perancangan dan kawalan kesesuaian tapak perkemahan yang digariskan adalah keselamatan tapak dengan menentukan jarak sesuai dari kawasan larangan dan sensitif alam sekitar, keadaan topografi dan tahap kecerunan sesuai, serta struktur kekuatan tanah.

“Diharapkan dengan adanya garis panduan yang disediakan nanti, aspek berkaitan keselamatan, keselesaan dan pemuliharaan alam semula jadi akan dapat diberi perhatian dalam perancangan tapak-tapak perkhemahan supaya tragedi Batang Kali dapat dielakkan,” katanya lagi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS