Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM sokong ikrar Anwar hapus usaha cetus perbalahan kaum, agama

PSM memuji Anwar Ibrahim berhubung ucapannya pada kongres khas PKR baru-baru ini yang berikrar akan menolak percubaan untuk menyemai perbalahan kaum dan agama.

Bagi S Arutchelvan, perdana menteri telah mengambil iktibar daripada kebangkitan dan kejatuhan Pakatan Harapan selama 22 bulan selepas pilihan raya umum 2018.

“Anwar telah belajar bahawa kamu tidak boleh naif atau lalai dengan musuh.

“Kegagalan PH dalam menangani pelampau sayap kanan telah menyebabkan kerajaan ketika itu tumbang,” kata timbalan pengerusi PSM kepada Malaysiakini.

Oleh itu, Arutchelvan berkata Anwar harus disokong kerana kerajaan baharunya sedang berdepan dengan masalah sama, melibatkan kuasa serupa yang mendalangi kejatuhan PH sebelum ini.

Ucapan tegasnya disasarkan kepada akar umbi dan masyarakat antarabangsa. Ucapannya tentang politik tanpa memecah-belahkan kaum akan diterima baik terutamanya di negeri-negeri Borneo, pantai barat dan negeri-negeri di selatan Semenanjung Malaysia.

“Sejak beberapa minggu kebelakangan, terdapat kebimbangan, terutamanya di kalangan bukan Melayu, bahawa Anwar dianggap berlembut terhadap ‘gelombang hijau’. Mesejnya pada kongres PKR adalah untuk meyakinkan akar umbi dan mengukuhkan cengkaman kuasanya,” katanya.

Bagaimanapun, Arutchelvan berkata sementara Perikatan Nasional adalah "musuh terbesar di atas kertas", tetapi rakan karibnya yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah "kelemahan terbesarnya".

Memandangkan kes rasuahnya, pemimpin PSM itu berkata Zahid adalah "tokoh tercemar" dan ini akan memberi kesan kepada kedudukan Anwar pada pilihan raya di enam negeri yang akan datang, khususnya yang disebut-sebut oleh PN sebagai referendum terhadap kepimpinannya oleh pengundi Melayu-Islam.

“(Presiden PN) Muhyiddin (Yassin) dengan orang seperti Azmin Ali dan (anggota Bersatu) Chegu Bard (Badrul Hisham Shaharin) di pihaknya akan membina gelombang untuk menggambarkan mereka sebagai mangsa,” katanya.

Muhyiddin, yang menjadi perdana menteri selepas menerajui rampasan kuasa politik terhadap kerajaan PH, berdepan pelbagai tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Pemimpin PN itu bagaimanapun mendakwa menjadi mangsa "pendakwaan terpilih" yang dinafikan kerajaan.

Sementara itu, Arutchelvan menggesa Anwar dan mereka yang sealiran dengannya untuk "membina semula gerakan reformasi sebenar" dari bawah ke atas melibatkan semua rakyat Malaysia.

“Memperkasakan rakyat di akar umbi berasaskan polisi yang bersandarkan kelas akan meningkatkan dan membina kuasa rakyat dari bawah.

"Tetapi jika mereka yang rapat dengan Anwar memilih untuk sekadar menjadi 'macai', atau ‘burung kakak tua’ untuk bersetuju dengan semua yang dia perkatakannya dan menciap semula mesejnya untuk memenangi pilihan raya, maka saya takut Anwar akan kehilangan momentum," tambahnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS