Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Indira Gandhi mohon batalkan penukaran agama unilateral di lapan negeri

Ibu yang tiga anaknya ditukar ke agama Islam secara unilateral, M Indira Gandhi hari ini memohon kepada mahkamah sivil untuk membatalkan undang-undang berkenaan yang terpakai di lapan negeri di Malaysia.

Guru tadika itu dan 13 plaintif lain memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Mereka mengharapkan keputusan mahkamah persekutuan pada 2018 berhubung isu bekas suami Indira Gandhi yang seorang mualaf yang kemudiannya menukar agama tiga anak mereka secara unilateral tanpa pengetahuan dan persetujuannya menjadi asas dalam permohonan itu.

Tuntutan mereka adalah untuk membatalkan undang-undang penukaran agama unilateral yang terkandung dalam enakmen negeri Wilayah Persekutuan, termasuk di Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor Darul Takzim.

Selain Indira Gandhi, 48, 13 plaintif lain ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia Hindu Sangam (MHS), bekas pengerusinya S Mohan, 58, pengerusi Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy, dua individu yang mendakwa sebagai mangsa penukaran agama unilateral, dan lapan warganegara dari negeri-negeri berkenaan.

Dua mangsa penukaran agama unilateral itu ialah Aisyah Muhammad Ali, 26, dan Mimi Mastura Abdullah, 33, manakala warga negeri ialah P Sathesh Kumar, 45 (Perlis), S Puveneshwaran, 46 (Kedah), A Krishnan, 57 (Melaka), R Sentul Kumaran, 43 (Negeri Sembilan), S Sathy Vel Naidu, 61 (Pahang), M Selvaraj, 69 (Perak), S Sivaprakash, 48 (Johor), dan M Ranjeet Kumar, 44 (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Indira Gandhi, dan plaintif lain berhujah bahawa enakmen negeri yang dipertikaikan tersebut adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 12(4) dan 75 Perlembagaan Persekutuan serta keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 berhubung penukaran agama secara unilateral.

Menurut salinan afidavit menyokong tindakan sivil itu, Aisyah yang berasal dari Ulu Tiram, Johor, mendakwa dia berusia sembilan tahun apabila dimasukkan ke agama Islam secara unilateral oleh bapanya tanpa kebenaran ibunya di Jabatan Agama Islam Kota Tinggi.

Aisyah mendakwa Mimi Mastura pula ditukar menjadi Islam secara unilateral ketika berusia 10 tahun oleh ibunya tanpa kebenaran bapanya di Jabatan Agama Islam Johor Bahru.

Aisyah berhujah bahawa dia dan Mimi Mastura tidak pernah menganut atau mengamalkan Islam sebaliknya masih menganut agama Hindu.

Dia merujuk kepada keputusan mahkamah persekutuan 2018 - M Indira Gandhi lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan lain-lain yang memutuskan secara afirmatif kepada soalan “Jika ibu dan bapa (jika kedua-duanya masih hidup) anak hasil perkahwinan sivil mesti bersetuju sebelum penukaran agama boleh dikeluarkan kepada kanak-kanak itu?”

Aisyah kemudiannya menyenaraikan lapan enakmen negeri yang didakwa bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung frasa “ibu bapa” Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, yang menurut mahkamah tertinggi negara itu ditafsirkan sebagai “ibu dan bapa” bagi tujuan mjendapatkan persetujuan untuk penukaran agama anak itu.

Enakmen tersebut ialah: Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006, Seksyen 80 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Kedah) 2008, Seksyen 105 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Melaka) 2002, Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, Seksyen 103 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Pahang) 1991, Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Seksyen 117 Akta Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Johor) 2003, dan Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

“Saya selanjutnya dinasihatkan bahawa enakmen negeri yang berkaitan dengan penukaran agama Islam secara unilateral itu adalah bercanggah dengan perlembagaan dan telah menyebabkan, sedang menyebabkan atau akan menyebabkan pencabulan hak plaintif dan juga hak anak-anak setiap warganegara bukan Islam yang agama mereka boleh ditukar kepada Islam,” kata Aisyah.

Ketika dihubungi, peguam plaintif Rajesh Nagarajan berkata tindakan undang-undang mereka ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS