Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan komitmennya untuk memansuhkan beberapa peruntukan yang menyekat kebebasan akademik dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Bercakap pada majlis dialog anak muda Temu Anwar petang tadi, ahli parlimen Tambun itu menyifatkan Auku sebagai perundangan yang komprehensif.

Namun, kata Anwar peruntukan tertentu mesti dihapuskan untuk memperkasakan pelajar, ahli akademik dan pensyarah.

"Saya sudah bincang dengan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Khaled Nordin untuk pinda peruntukan yang menyekat kebebasan pelajar malah pensyarah-pensyarah juga.

"Saya akan beri jaminan peruntukan yang sekat keebebasan mahasiswa, akademik dan pensyarah akan dihapuskan,” jawabnya kepada soalan seorang pelajar universiti awam dalam program dialog anak muda Temu Anwar di Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana menteri menjawab soalan daripada seorang pelajar universiti mengenai Auku, menyoal jika kerajaan akan memansuhkannya bagi memberi autonomi kepada pelajar pengajian tinggi.

Terdahulu, Anwar bertanyakan soalan kepada hadirin mengenai asal usul Auku.

Presiden PKR itu secara berseloroh menyatakan Auku telah dilaksana oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad untuk ‘menghalang Anwar masuk universiti’.

Sebelum ini, Khaled dilaporkan berkata kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971.

Kata Khaled, akta tersebut masih relevan terutama melibatkan urus tadbir universiti.

Khaled berkata proses pemansuhan akta terbabit memerlukan penelitian lanjut memandangkan ia melibatkan akta lain yang turut berkuat kuasa seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

Sekumpulan pemimpin pelajar dan wakil rakyat PH kemudiannya menggesa kerajaan untuk memulakan sesi perbincangan mengenai Auku dan menyeru menteri terbabit menetapkan tempoh masa yang jelas untuk menunjukkan bagaimana kerajaan akan menangani akta berkenaan.

Pada PRU15 lalu, PH berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk memansuhkan Auku.

Bagaimanapun, kerajaan ketika ini merupakan gabungan parti-parti politik termasuk BN yang mempertahankan pengunaan Auku sebelum ini.

Sementara itu, mengulas persoalan mengenai rancangan kerajaan mewajibkan organisasi di sektor swasta membayar elaun pelatih, Anwar berkata dia tidak boleh memaksa syarikat terbabit berbuat sedemikian.

Namun, jelas Anwar dia boleh membuat desakan berhubung perkara tersebut.

“Saya cuma boleh buat gesaan kepada syarikat (untuk bayar). Syarikat yang mampu, bayarlah elaun," katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut memberi amaran kepada mahasiswa agar tidak menjadi macai atau "walaun" sekiranya mahu menjadi aktivis.

"(Mahasiswa) boleh jadi aktivis (perjuangkan hak mahasiswa) tetapi jangan jadi macai (atau) walaun.

"Saya hendak pastikan Kerajaan Perpaduan dengan warga Madani (tidak akan menyekat) sekiranya sesiapa ingin bercakap tentang perjuangan (mahasiswa).

Istilah slanga “walaun” bersusur galur perkataan walak yang merujuk sifat taat kepada pemimpin, terutama dalam kalangan penyokong tegar PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS