Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar jawab bagaimana ibu bapanya mendidik hingga teruji di penjara
Diterbitkan:  Mar 19, 2023 8:53 PM
Dikemaskini: 3:26 PM

Tidak hanya menjawab soalan berkaitan isu semasa dan rakyat dalam program dialog bersama belia di Kuala Lumpur hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membuka kisah didikan ibu bapanya yang mempengaruhi perwatakan beliau dan minat membaca yang sangat menebal sejak dahulu lagi.

Segalanya bermula dengan soalan peserta wanita dari Indonesia pada program dialog anak muda ‘Temu Anwar,’ yang turut menzahirkan kekagumannya terhadap Perdana Menteri berusia 75 tahun itu yang disifatkan sebagai seorang pejuang sejati dan memiliki ketokohan tersendiri, mengenai kaedah didikan diguna pakai oleh ibu ayah Anwar.

“Saya percaya bapak membawa visi MADANI tentang kemanusiaan, apa nasihat yang diberikan orang tua bapak, orang tua bapak seperti apa, bagaimana mendidik daripada kecil sehingga jiwa pejuang Anwar teruji bukan hanya di rumah tapi di penjara,” katanya yang memperkenalkan diri sebagai Nur Irma Watoni.

Anwar, yang tersenyum dan berkata beliau ‘senang’ dengan soalan itu, memaklumkan antara asas utama didikan ibu bapa beliau ialah membaca.

MCKK dan bapa pernah jadi MP

“Ibu bapa saya sangat mendorong untuk membaca. Ayah saya lebih kepada Bahasa Inggeris. Ibu saya lebih kepada Bahasa Melayu. Mereka juga sering beri galakan saya bergiat aktif dalam kegiatan sosial dan masyarakat.

"Walaupun kami kelas menengah, ibu bapa saya memang orang kuat Umno dan (bapa) pernah jadi ahli parlimen tetapi sentiasa bawa saya ke kawasan-kawasan orang miskin.

“Jadi keprihatinan kita kukuh dari awal. Alhamdulillah, latihan agama juga kuat,” katanya.

Perdana Menteri berkata ketika melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), beliau turut mendapat latihan disiplin yang teguh daripada guru-gurunya yang disifatkan sebagai luar biasa.

“Sebab itu bila orang berbicara soal kaum, walaupun saya kuat Melayunya, saya perjuangkan bahasa, bangga dengan budaya tapi saya tiada sentimen benci bangsa lain.

“Walaupun Kolej Melayu, (pelajar) Melayu semua tetapi guru yang berjasa kepada kita ini guru Melayu, guru Cina dan India itu berjasa sekali dan kasih kepada anak-anak itu tidak menunjukkan mereka ada prasangka terhadap anak-anak Melayu. Jadi ini semua mempengaruhi watak kita.

“Tetapi bagaimana saya boleh berdegil dan bertahan, itu tidak mudah. Kalau saudara kumpul, saya di penjara hampir 11 tahun dan penjara itu neraka dunia, jadi tidak mudah. Tapi saya keras dan degil mengatakan saya nak ubah sistem,” katanya.

Anwar berkata azam dan cita-cita untuk menjadikan Malaysia hebat dan ‘manusiawi’ tetap diteruskan walapun berada di balik tirai besi sehingga mendorong beliau untuk tekun beramal, cuba menghafal al-Quran dan membaca sebanyak mungkin buku yang diperoleh.

Gambar fail.

“Walaupun di peringkat awal, tidak diizinkan buku masuk dalam lokap saya.

“Tetapi selepas beberapa tahun bosan melarang-larang, akhirnya diizinkan dan teman-teman dari seluruh dunia hanya mengirim buku. Kalau buku terbitan paling baharu dari India, Indonesia, Amerika Syarikat dan United Kingdom itu dikirim kepada saya.

“Jadi sebab itu, bila saya keluar dari penjara pada 2004, saya diminta jadi felow di Universiti Oxford dan kemudian Profesor di Universiti Georgetown kerana banyak baca. Tapi bagaimana mampu kuat ini, sukar dijawab. Yang penting doa kepada Allah SWT supaya kuat," katanya.

Program dialog anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) tersebut dikendalikan oleh selebriti Amelia Henderson dan dihadiri lebih 5,000 anak muda yang berpeluang bertanyakan pelbagai soalan kepada pemimpin nombor satu negara itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS