Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Restoran tak halal boleh guna nama 'Menu Rahmah'
Diterbitkan:  Mar 19, 2023 1:47 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Inisiatif Menu Rahmah akan diperluas kepada restoran tidak halal untuk manfaat orang bukan Islam yang memerlukan, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Salahuddin Ayub.

Menurut Salahuddin, penggunaan nama 'rahmah' akan dikekalkan di restoran tersebut kerana istilah itu melangkaui kaum dan agama walaupun ia berasal daripada bahasa Arab dan banyak digunakan dalam agama Islam.

"Kita guna 'Rahmah" untuk inisiatif lain jadi mengapa tidak untuk makanan tak halal? 'Rahmah' untuk semua," katanya dalam wawancara bersama Malay Mail.

Istilah Rahmah turut digunakan dalam pelbagai usaha kementerian itu bagi menangani isu kos sara hidup antaranya bantuan barangan "Bakul Rahmah", "Pakej Rahmah" untuk jualan sejumlah barang keperluan asas dengan harga lebih murah, "Jualan Rahmah" yang melibatkan jualan murah oleh pasar raya serta "Kafe Rahmah" yang disasarkan kepada pelajar universiti.

Menurut Salahuddin, walaupun dia sebelum ini mencadangkan agar restoran tidak halal menggunakan nama "Menu Kasih Sayang", dia percaya konsep "Rahmah" adalah untuk semua warga Malaysia.

"Kita ingin promosikan keterangkuman, (inisiatif Rahmah) adalah untuk semua, itu paling penting.

"Islam mengajar kita yang kerajaan perlu bantu semua, tidak boleh ada pemisahan atau diskriminasi," kata timbalan presiden Amanah itu.

Dia berkata kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan persatuan kedai makan tidak halal dan ramai yang menyuarakan berminat dengan inisiatif itu.

Dilancarkan pada 31 Januari lalu, Menu Rahmah adalah inisiatif di mana pemilik restoran secara suka rela menawarkan set makanan serendah RM5.

Ia sebahagian daripada usaha jangka pendek kerajaan untuk menangani kesan inflasi terhadap golongan berpendapatan rendah.

Salahuddin sebelum ini mempertahankan inisiatif itu dengan berkata ia tidak membawa kerugian kepada peniaga dan malah meningkatkan jualan mereka.

Pada minggu lalu, dia memaklumkan sejumlah 1,531 premis perniagaan telah mendaftar untuk melaksanakan Menu Rahmah dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS