Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Johor cadang tubuh j'kuasa perubahan iklim, pengurusan banjir

Kerajaan Johor hari ini mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir yang akan dibarisi Adun negeri itu.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata pembentukan jawatankuasa yang akan dianggotai Adun merentasi parti politik itu sebagai menyahut peringatan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Dia berkata menerusi titah baginda Khamis lepas, Sultan Ibrahim menggesa kepada semua penduduk Johor supaya membudayakan amalan mesra alam, menjaga kebersihan, dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Baginda juga berkenan mengingatkan semua supaya setiap pembangunan yang hendak dibuat di kawasan berbukit atau tanah tinggi mestilah mengekalkan bentuk.

“Untuk makluman Dewan yang mulia ini, peringatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkait rapat dengan misi kerajaan negeri Johor untuk mencari langkah yang efektif bagi menangani isu perubahan iklim ini.

Onn Hafiz Ghazi (kiri)

“Oleh itu, mengikut Fasal 32(8) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Johor, kerajaan negeri akan mengemukakan satu rundingan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir semasa sidang DUN ini, dan menjadi harapan saya agar rundingan ini akan disokong sebulat suara oleh ahli-ahli Yang Berhormat,” kata Onn Hafiz (BN-Machap).

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di Iskandar Puteri hari ini.

Onn Hafiz menjawab soalan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya), Chiong Sen Sern (PH-Bukit Batu), Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) dan Chew Chong Sin (PH-Mengkibol) mengenai usaha dan pelan kerajaan negeri dalam kesiapsiagaan hadapi banjir serta peruntukan tambahan yang diberikan kepada agensi terlibat.

Berhubung soalan tambahan Liow mengenai jawatankuasa itu, dia berkata penubuhannya sangat penting supaya Johor dapat memperhalusi rancangan yang telah diatur dan dirangka, memperbaiki serta belajar daripada negara yang pernah melalui bencana itu, selain turut mempunyai pelan yang komprehensif.

Selain itu, dia juga menjelaskan mengenai peruntukan tambahan yang dimohon daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM1.153 bilion bagi membaiki kerosakan susulan bencana itu.

Menurutnya selain projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), permohonan peruntukan adalah untuk membaiki jalan raya dan infrastruktur.

Antaranya, peruntukan RM168.64 juta menerusi Jabatan Kerja Raya bagi membaik pulih jalan, laluan jalan kaki, cerun dan lain-lain; RM35.676 juta menerusi pejabat daerah untuk baiki sekolah, longkang dan parit, selain RM904.772 juta menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran bagi projek RTB dan sistem saliran, baik pulih jambatan, tebing serta cerun.

Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chew mengenai peruntukan tambahan yang dimohon untuk diberikan kepada agensi terlibat bagi membaiki kerosakan akibat banjir.

Terdahulu, dia turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Sultan Ibrahim serta keluarga diraja atas keprihatinan baginda sekeluarga yang berkenan menziarahi mangsa banjir selain membantu dari segi wang ringgit dan aset baginda.

Menteri besar juga menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang terlibat kerana kerja keras mereka membantu mangsa banjir selain peruntukan segera daripada kerajaan persekutuan.

“Kerajaan negeri Johor ingin merekodkan dalam Dewan yang mulia ini, ucapan simpati yang tidak terhingga kepada mangsa banjir. Namun, kita tidak pernah pejam mata atau berpeluk tubuh demi membantu semua mangsa banjir di Johor ini,” katanya.

Lebih 85,000 rakyat Johor di 10 daerah di negeri ini terjejas dalam bencana banjir yang bermula 28 Feb lepas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS