Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlu rujuk MAINPP untuk program ziarah rumah ibadat bukan Islam
Diterbitkan:  Mar 17, 2023 10:16 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

Program mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di negeri ini perlu merujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Yang Dipertua MAINPP Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri I dipetik Bernama berkata langkah itu bagi memastikan penganjur mematuhi semua garis panduan.

Ini, katanya termasuk perkara yang boleh serta tidak boleh dilakukan pada program itu.

"Kita nak penganjur yang nak anjurkan tu pun mestilah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan perpaduan atau kerja-kerja sosial, kalau bukan… memang tidak digalakkan untuk anjur program sedemikian.

Gambar fail, Projek Artikel 11, lawatan bukan Islam ke masjid.

"Sebab itu kita minta mana-mana pihak nak anjurkan program sedemikian agar rujuk MAINPP dulu kerana ia perlu dijalankan dalam keadaan terkawal, saya juga pasti perkara ini telah ada permohonan dan panduan yang telah diberikan oleh pejabat mufti sebelum ini.. ia boleh dirujuk semula," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya' Ramadan, di Kepala Batas hari ini.

Ahmad Zakiyuddin juga dipetik Bernama berkata Pulau Pinang tetap mematuhi undang-undang dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam berhubung hal-ehwal agama Islam di negeri itu, termasuk melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Abdul Aziz Mohd Yusof berkata program yang dibuat untuk memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang di Selangor dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Projek Artikel 11" salah satu inisiatif #MalaysiaInklusif oleh Impact Malaysia mencetuskan kontroversi apabila dituduh segelintir pihak sebagai program evangelis Kristian.

Bagaimanapun, Impact Melaysia menjelaskan projek itu bertujuan meningkatkan persefahaman golongan muda dalam aspek kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

Projek Artikel 11 mempunyai dua gerak kerja. Pertama, lawatan menerusi program Jom Ziarah di mana belia akan dapat menziarahi rumah ibadat yang berlainan daripada agama sendiri untuk tujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama.

Kedua, belia mengikuti aktiviti kesukarelawanan untuk membantu golongan rentan yang dianjurkan oleh pertubuhan kebajikan berasaskan agama, supaya belia dapat memahami bahawa semua agama mempunyai persamaan dari segi nilai murni dan menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan.

Setakat ini, program Jom Ziarah telah membawa lapan belia Cina dan India ke Masjid Wilayah di Kuala Lumpur pada 4 Mac serta tiga belia Cina ke Gurdwara Sahib di Shah Alam pada 11 Mac lalu.

Dua program yang dijadual diadakan adalah "Jom Ziarah Gereja" dan "Jom Ziarah Kuil Hindu", masing-masing pada 18 dan 19 Mac ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan tuduhan agensinya menjalankan program berkaitan ‘Kristianisasai’ dan Menterinya Hannah Yeoh membalas dakwaan tersebut dengan menggunakan hujah pernah disuarakan pemimpin PAS.

Yeoh berkata Tuan Ibrahim ahli parlimen PAS dan PN - pada 2 Okt 2018 - pernah menyebut, tidak salah orang Islam masuk kuil terima kalungan.

Menjelaskan lebih lanjut Yeoh turut memetik kenyataan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Katanya pada 2015 ahli parlimen Marang itu sendiri pernah melawat gereja di Miri, Sarawak.

Ketika itu, Abdul Hadi berkata perbincangan dua hala dan saling bertukar-tukar fikiran amat menarik.

"(Ini) sebahagian daripada usaha mendekatkan percambahan minda antara agama Islam dan Kristian serta mengeratkan hubungan dalam masyarakat majmuk khususnya di Sarawak.

"Islam adalah agama perdamaian dan PAS sebagai sebuah parti yang terbuka, mengambil pendekatan aman sejahtera dan mengamalkan politik matang," kata presiden PAS menjelaskan pertemuannya bersama Augustine, naib pengerusi Majlis Gereja Anglikan St Columba Miri serta Rev Father Alfred dan Bishop Warden Edwin Dundang.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS