mk-logo
Berita
Sultan Selangor titah hutan simpan kekal dipelihara
Diterbitkan:  Mar 17, 2023 9:24 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar kawasan hutan simpan kekal di Selangor yang berkeluasan 108,000 hektar terus dipelihara.

Menurut hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda turut mencadangkan kerajaan negeri melanjutkan tempoh dasar pembalakan pemantauan, yang kini ditetapkan selama 25 tahun, untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di dalam hutan simpan kekal sejak 2009.

"Baginda juga telah menitahkan agar Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang memiliki ijazah dalam Ekologi dan Biologi Alam Sekitar, untuk memantau rapat usaha-usaha mengekalkan persekitaran hijau di Selangor dengan sasaran penanaman tidak kurang 11 juta pokok menjelang 2026.

"Baginda turut berpandangan bahawa kerjasama antara Jabatan Perhutanan dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha-usaha konservasi serta kajian berterusan akan membolehkan kawasan hutan simpan kekal ini dimanfaatkan ke arah memelihara warisan geologi, budaya dan biologi sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh di Malaysia," menurut hantaran tersebut.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin turut berkenan agar nama hutan simpan kekal di negeri ini dinamakan semula sebagai Hutan Warisan Diraja Negeri Selangor ketika dilancarkan secara rasmi Ogos ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) baru Azhar Ahmad dan bekas pengarah Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid di Istana Bukit Kayangan, di Shah Alam.

Turut berkenan berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Pada pertemuan itu, Sultan Selangor disembah maklum mengenai perkembangan terkini usaha pembangunan dan penggazetan kawasan rizab hutan simpan Taman Warisan Negeri Selangor menerusi Pelan Induk 2023-2032.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS