Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berdepan risiko diisytihar muflis, MP Kepong rayu bantuan

Ahli Parlimen DAP Kepong Lim Lip Eng hari ini melancarkan kempen mengumpul dana untuk membayar ganti rugi RM2.25 juta kepada firma e-dagang Monspace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Jessy Lai.

Ini selepas Lim tewas dalam saman fitnah semalam. Dia berisiko diisytiharkan muflis dan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen jika tidak dapat membayar denda itu tepat pada masanya.

Lim berkata beliau perlu menyerahkan jumlah itu dalam tempoh tujuh hari sebaik menerima perintah mahkamah, yang dijangka dihantar kepadanya minggu depan.

Tidak seperti kes jenayah, Lim perlu membayar ganti rugi sebelum keputusan rayuannya diumumkan dalam saman fitnah sivil ini.

Pada sidang media di pusat khidmatnya di Kepong, hari ini, Lim menjelaskan bahawa dirinya telah memberikan bantuan secara sukarela kepada ramai mangsa yang terjebak dengan skim “membuat duit” di alam maya sejak beberapa tahun lalu.

Dan dirinya terlibat dalam kes saman fitnah itu dengan Monspace dan Jessy Lai selepas membantu sekumpulan individu yang memohon bantuannya  pada 2016.

"Ganti rugi sebanyak RM2.25 juta adalah jumlah yang tidak pernah diberikan sebelum ini, ramai peguam berpengalaman menganggapnya sukar dipercayai. Bagaimanapun, ini tidak akan menghalang saya daripada menegakkan keadilan.

"Saya sentiasa bertanggung jawab atas tindakan saya, tetapi jumlah itu terlalu tinggi, dan amat sukar untuk mengumpul wang tunai RM2.25 juta dalam tempoh yang singkat.

"Jika saya gagal membayar tepat pada masanya, saya akan berdepan dengan risiko diisytiharkan muflis, dan saya tidak akan lagi dapat terus bersuara untuk rakyat dan negara di Parlimen.

"Saya benar-benar merayu semua rakyat Malaysia untuk bersama saya untuk menegakkan keadilan dan membantu saya mengumpul RM2.25 juta dalam tempoh tujuh hari ini," kata Lim.

Ketika ditanya tentang apa yang akan dilakukannya jika gagal mengumpul jumlah yang diperlukan itu, Lim berkata dia mungkin terpaksa menjual rumah dan keretanya, tetapi ini juga akan mengambil masa untuk mendapatkan dana berkenaan.

Dia berjanji bahawa sekiranya dia berjaya dalam rayuannya nanti, dan dibenarkan mendapatkan semula wang ganti rugi tersebut, dia akan menderma kesemua wang berkenaan kepada pertubuhan amal dan badan pendidikan.

Pada 24 Mei 2017, Lim membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai  di Bukit Jalil. Suasana kemudiannya menjadi hangat ketika mereka berhadapan dengan pekerja Lai dan Monspace.

Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lim pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan itu mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur.

Pada tahun yang sama, beberapa pengasas Monspace turut didakwa di mahkamah jenayah atas dakwaan menjalankan skim piramid dan aktiviti pengubahan wang haram.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Lim membayar sejumlah RM2 juta sebagai ganti rugi dan RM250,000 sebagai kos kepada Monspace dan Lai.

Tan Kok Wai

Sementara itu, DAP Wilayah Persekutuan telah melancarkan usaha mengumpul dana untuk membantu Lim.

Menurut pengerusinya Tan Kok Wai, Lim hanya menjalankan tugasnya sebagai ahli parlimen yang dipilih untuk mengketengahkan isu kepentingan rakyat.

Tan berkata walaupun peguam telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah, Lim masih perlu membayar ganti rugi dan kos guaman kepada plaintif, sementara menunggu keputusan tersebut.

"DAP Wilayah Persekutuan berdiri dalam solidariti dengan Lim dalam perkara ini. Kami percaya bahawa sebagai wakil rakyat yang berani dan bertanggung jawab, Lim yelah menjalankan tugasnya untuk mengetengahkan isu kepentingan rakyat.

"Memandangkan jumlah ganti rugi yang diberikan adalah sangat tinggi, DAP Wilayah Persekutuan ingin merayu kepada orang ramai untuk menunjukkan sokongan moral dengan memberi bantuan kepada Lim untuk membayar jumlah ganti rugi dan kos (guaman)," kata Tan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS