Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Penduduk diusir dakwa syarikat lebuh raya belum bayar pampasan

Sejumlah 30 penduduk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) awal minggu ini, untuk menyerahkan memorandum berhubung apa yang didakwa sebagai pampasan tak memadai dan layanan teruk yang diterima mereka.

Pampasan itu bagi pengambilan empat lot tanah di kawasan Mukim Klang yang terletak di Batu Empat, Kampung Jawa di Selangor.

"JKPTG diberi tanggungjawab menjadi orang tengah dalam pengurusan pemerolehan tanah bagi Pakej 3 (Taiping-Banting) projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dengan pihak berkepentingan melibatkan tanah Lot 15789, 15771, 10433, 10478, 11113, 9896, 9897 dan 9879.

"Proses pemerolehan tanah bermula pada 2015 dan kami dipanggil untuk ke Jabatan tanah dan Galian (Persekutuan) Klang pada 2017," kata wakil penduduk, S Rajendran.

Menurut Rajendran, pada mulanya mereka dimaklumkan pihak WCE hanya akan membayar untuk pampasan tanah dan bangunan namun mereka kemudian setuju untuk turut membayar pampasan bagi kos pemindahan dan kos kehilangan pendapatan.

"Kami diberi tempoh untuk melaksanakan penilaian pampasan menerusi penaksir.

"Namun, walaupun kami menghantar harga pasaran yang dibuat jurunilai yang sah, mereka hanya meluluskan kadar yang rendah untuk pampasan bangunan, kes pemindahan dan kos kehilangan pendapatan," dakwa Rajendran.

Katanya, Borang H kemudian dikeluarkan berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 pada September 2017 yang turut merangkumi kadar pampasan untuk tanah, bangunan, kos pemindahan dan kos kehilangan pendapatan.

Namun, katanya lagi, setakat hari ini tiada bayaran dibuat berdasarkan borang tersebut.

"Menurut Akta Pengambilan Tanah 1960, penalti lapan peratus setahun dikenakan untuk pembayaran lambat bermula tarikh Borang H dikeluarkan, namum mereka tidak membuat sebarang pembayaran.

"Mereka sebaliknya mendakwa terdapat perubahan dalam saiz tanah dan perjanjian untuk pampasan yang baru perlu dibuat," dakwanya lagi.

Rajendran berkata pihaknya telah bertemu tiga pegawai di Pejabat Tanah semalam, selain meminta bantuan Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu dan Adun Sentosa G Gunaraja untuk menyelesaikan isu tersebut.

Satu memorandum turut dihantar ke Pejabat Menteri Besar Selangor tetapi belum ada maklum balas setakat ini, katanya lagi.

"Kita telah memiliki tanah itu sejak 1983 dan mula membuat binaan pada 1989.

"Walaupun kami tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan sebelum ini, kami tetap menerimanya sebagai takdir dan demi kebaikan dan kemajuan negeri dan negara. Tapi pampasan ini pun dinafikan terhadap kami.

"Ini sahaja harta dan punca pendapatan kami di usia tua," katanya lagi.

KJPTG ketika dihubungi mengesahkan yang mereka telah menerima memorandum tersebut tetapi tidak memberikan sebarang maklum balas lanjut.

Malaysiakini juga telah menghubungi WCE untuk mendapatkan respons mereka terhadap dakwaan ini dan sedang menunggu maklum balas mereka.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS