China pada Khamis mendakwa Washington tidak memberikan sebarang bukti bahawa aplikasi perkongsian video Tik Tok merupakan ancaman pada keselamatan negara Amerika Syarikat (AS).
“AS masih belum membuktikan bahawa Tik Tok mengancam keselamatan negaranya,” lapor Anadolu Agency memetik kenyataan jurucakap kementerian luar China Wang Wenbin pada sidang akhbar di Beijing.
Wang menuduh washington menyebar maklumat salah dan menyekat Tik Tok.
“AS wajar berhenti menyebarkan maklumat salah tentang keselamatan datanya, berhenti daripada menindas syarikat yang berkaitan dan menyediakan persekitaran yang terbuka, adil dan tidak mendiskriminasi peniagaan asing untuk melabur dan beropersi di AS,” katanya.
Kebimbangan Beijing terhadap kemungkinan tindakan oleh Washington terhadap aplikasi perkongsian video itu muncul selepas pemilik Tik Tok China berkata pentadbiran Biden telah meminta mereka menjual saham syarikat itu atau berhadapan risiko diharamkan di AS.
“China percaya bahawa keselamatan data tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menyalahgunakan konsep keselamatan negara dan kuasa negara untuk menindas syarikat asing,” kata Wang.
Menurut eksekutif platform itu, 60 peratus saham syarikat induk Tik Tok ByteDance dimiliki oleh pelabur asing, 20 peratus oleh pekerja manakala 20 peratus lagi oleh pengasasnya.
- Bernama-Anadolu