Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Lima bank utama disyaki transit wang haram
Diterbitkan:  Mar 16, 2023 8:58 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Lima bank utama di negara ini berada di bawah pemerhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas akaun bank-bank berkenaan digunakan oleh sindiket penipuan antarabangsa untuk membuat transaksi wang haram ke luar negara sehingga mencecah RM1 juta sehari.

Peranan bank berkenaan terdedah selepas kejayaan SPRM menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa menerusi Operasi Tropicana (Op Tropicana), baru-baru ini, lapor Berita Harian.

Sekurang-kurangnya 20 kakitangan bank terlibat termasuk juruaudit dan pegawai kaunter hadapan bagi memudahkan sindiket membuka akaun.

Akaun-akaun ini digunakan oleh sindiket untuk mengutip wang tunai yang didepositkan oleh mangsa penipuan.

Siasatan SPRM mendapati kebanyakan mangsa dikenal pasti sebagai warga Australia dan United Kingdom (UK).

Pegawai bank itu juga dilaporkan akan 'menutup mata' terhadap sebarang laporan transaksi mencurigakan pada akaun bank berkenaan.

Peranan pekerja bank itu menyebabkan sindiket penipuan mampu mengaut keuntungan kira-kira RM200 juta hanya dalam tempoh tiga bulan.

Sebagai balasan, mereka dibayar antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap akaun bank yang berjaya dibuka untuk kegunaan sindiket.

Menurut sumber, akaun berkenaan hanya digunakan untuk tujuan transit kerana sindiket akan segera mengalihkan wang yang didepositkan ke akaun milik sindiket di Hong Kong.

Sumber berkata, bank-bank yang dikesan terbabit dalam operasi sindiket penipuan antarabangsa ini kesemuanya beroperasi di ibu negara.

Dianggarkan 20 hingga 30 akaun bank digunakan pihak sindiket dan akaun berkenaan akan ditutup selepas tiga bulan, sebelum akaun baru dibuka.

Sumber itu berkata walaupun hanya pekerja bank yang dikenal pasti terbabit, SPRM akan tetap memantau operasi bank berkenaan.

"SPRM juga sudah mengenal pasti tujuh hingga lapan syarikat palsu yang diwujudkan sindiket penipuan sebagai cara untuk membuka akaun bank di negara ini," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Menurut sumber, syarikat-syarikat yang didapati berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) digunakan untuk mempromosikan skim pelaburan palsu bagi memancing mangsa.

Siasatan juga mendapati sindiket itu juga memperincikan operasi mereka dengan mengaitkan syarikat antarabangsa terkenal dalam skim penipuan mereka.

Siasatan SPRM menunjukkan sindiket ini aktif di beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Hong Kong dan UK.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang mengaut RM200 juta daripada mangsa di Australia dan United Kingdom.

Menerusi Op Tropicana, sekurang-kurangnya 25 premis di Lembah Klang dan Pulau Pinang diserbu SPRM.

SPRM berkata sindiket ini dipercayai merasuah beberapa agensi penguatkuasa bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar sejak 2019.

Anggota sindiket itu, katanya, terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina.

Modus operandi sindiket ini ialah memperdaya mangsa untuk melaburkan wang dalam skim pelaburan yang tidak wujud.

Sindiket ini juga dikesan menubuhkan 24 syarikat sebagai tempat menyimpan sementara wang dipindahkan oleh mangsa sebelum dipindahkan ke akaun bank lain di luar negara dan kemudiannya dipindahkan ke akaun milik sindiket.

Sindiket dikesan berkomunikasi dengan mangsa menggunakan platform 'Voice Over Internet Protocol' (VoIP) bagi memperdaya mangsa.

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Aset (AML) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata dua ketua sindiket itu yang merupakan warga UK didakwa di Mahkamah Shah Alam semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS