PARLIMEN | Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) secara umumnya tidak disalahgunakan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Fahmi memetik data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyatakan lebih separuh daripada aduan yang diterima di bawah peruntukan itu berkaitan bahan lucah, sementara kira-kira 20 peratus berkenaan berita palsu.
Dia berkata hanya 19.1 peratus yang berkaitan kandungan jelik.
"Berdasarkan angka dari SKMM, lebih 80 peratus aduan diterima bukan berkenaan kandungan jelik. Kebanyakannya mengenai kandungan lucah.
"Dari situ, kita lihat secara amnya akta ini tak disalahgunakan, sekurang-kurangnya bukan di bawah pemantauan kementerian," katanya ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dia menjawab soalan Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) berkenaan bagaimana kementeriannya akan memastikan Seksyen 233 CMA tidak disalahgunakan.
Yii juga bertanya jika kementerian itu akan menimbang untuk berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk mengenakan moratorium pendakwaan terhadap mereka yang disiasat menyebarkan kandungan jelik di bawah seksyen itu.
Menurut Fahmi, kementeriannya akan berbincang dengan semua pemegang taruh berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri, untuk memastikan Seksyen 233 CMA tidak disalahgunakan.
Dia juga berkata CMA tidak pernah dipinda sejak diwartakan 25 tahun lalu dan justeru, ia perlu dikemas kini, terutama dengan perkembangan bagaimana kemudahan rangkaian digunakan.
Misalnya, katanya lagi, pada 2010 aduan tertinggi adalah menerusi pesanan teks manakala pada 2022, hanya dua aduan disampaikan menerusinya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menambah hukuman bagi kesalahan membabitkan Seksyen 233 CMA.
Seksyen itu melibatkan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.
Pada masa ini, peruntukan itu membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000, penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.