Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun DAP cadang 'mekanisme pelepasan' bagi rumah Bumiputera
Diterbitkan:  Mar 15, 2023 1:14 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee menggesa kerajaan negeri Melaka mewujudkan "mekanisme pelepasan" (release mechanism) bagi unit rumah di bawah kuota Bumiputera bernilai RM300,000 dan ke atas.

Menurut ahli parlimen DAP itu, mekanisme itu akan membolehkan rumah dalam kategori itu dilepaskan sekiranya masih tidak dapat dijual selepas tempoh yang munasabah, dan ini seterusnya memastikan aktiviti pembangunan perumahan di negeri itu setara dengan pembangunan ekonomi.

"Kita sering kaitkan peningkatan pembangunan perumahan dengan peningkatan pertumbuhan ekonomi. Namun, dalam konteks tertentu, ini bukan selalunya benar.

"Tanpa dasar dan mekanisme yang betul daripada kerajaan negeri, kita mungkin menghadapi keadaan di mana harga perumahan dalam negeri menaik secara mendadak akibat aktiviti pelaburan bersifat spekulatif (‘speculative investment’) dan pembangunan tersebut tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi.

"Akibatnya, harga perumahan naik, harga barang naik, tetapi gaji dan pendapatan rakyat tidak naik dengan kadar yang setimpal," katanya ketika berucap pada sesi perbahasan dalam persidangan dewan undangan negeri Melaka hari ini.

"Sementara kerajaan patut mewujudkan lebih banyak unit perumahan yang mampu milik dan kos rendah, bagi unit perumahan dalam negeri Melaka yang melebihi nilai RM300,000 (bukan terletak bawah kategori kos rendah dan mampu milik), aktiviti pembelian dalam kalangan rakyat akan mengandungi unsur pelaburan - pembeli mengharapkan nilai rumah akan naik pada masa depan.

"Oleh sebab itu, bagi perumahan bernilai RM300,000 ke atas, satu amalan yang kita sering nampak ialah pembeli Bumiputera memilih untuk membeli perumahan bawah kategori bukan Bumiputera.

"Bagi sesetengah unit perumahan Bumiputera yang secara relatif lebih sukar atau lambat dijualkan, pemaju terpaksa menanggungkan kos tersebut yang boleh dipindah ke atas pembeli lain secara tidak langsung. Ini memberi kesan kepada semua rakyat," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS