Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan akan tingkat penglibatan Orang Asli untuk pelihara alam sekitar

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan meningkatkan penglibatan masyarakat Orang Asli dalam usaha pemeliharaan alam sekitar, kata menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata komuniti itu dilihat mampu menjadi barisan hadapan dalam usaha memulihara ekosistem flora dan fauna kerana mempunyai ilmu dan kemahiran menggunakan sumber alam dengan impak minimum terhadap risiko pencemaran.

Mengambil contoh inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (Rimau) bersama masyarakat Orang Asli di Taman Negeri Royal Belum di Perak, dia berkata usaha melindungi Harimau Malaya sukar dicapai sekiranya tiada penglibatan daripada mereka.

"Saya lihat macam di sana pun (Royal Belum), NGO itu bukan hanya lakukan program pendidikan.. tetapi turut melakukan program kebudayaan dengan masyarakat Orang Asli supaya ada daya tarikan selain dapat memastikan mereka memainkan peranan selaku barisan hadapan.

"Kita akan bekerjasama, walaupun Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di bawah Kementerian Desa dan Wilayah, tetapi kita akan bekerjasama, sebagai pendekatan kerajaan menyeluruh supaya kita dapat melibatkan masyarakat Orang Asli ini dengan lebih aktif dalam usaha memelihara alam sekitar," katanya.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Dia berkata demikian selepas merasmikan pelancaran program penanaman pokok yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Aeon Big Sdn Bhd di Dewan Serbaguna Jakoa, Batu 12 di Gombak, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Nik Nazmi menanam anak pokok tongkat ali sebagai gimik perasmian yang turut dihadiri Pengarah Jakoa Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Mohamad Anis Othman dan Pengurus Urusan Aeon Big Sdn Bhd Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

Mengenai program hari ini, Nik Nazmi berkata 300 anak pokok buah dan pokok hutan ditanam hasil kerjasama antara Jakoa serta Aeon Big, melibatkan seramai 70 orang sukarelawan, selain mendapat sokongan Jungle School Gombak.

"Pihak kerajaan juga ingin ucapkan tahniah kepada Aeon Big kerana memainkan peranan sebagai satu warga korporat yang sangat aktif dan bertanggungjawab. Bahkan mereka juga begitu aktif dalam program Payung Rahmah oleh kerajaan," katanya.

Dalam program sama, Aeon Big turut menyumbang Bakul Rahmah terdiri daripada barangan keperluan harian bernilai RM50 kepada 10 keluarga Orang Asli.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS