ADS
mk-logo
Berita
Bekas MP Klang: PAS patut perangi kemiskinan dan jenayah seksual
Diterbitkan:  Mar 15, 2023 12:23 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago mengkritik PAS yang disifatkannya menyasarkan komuniti LGBT.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia menggesa PAS menumpukan kepada masalah yang wujud di negeri seperti Kelantan dan Terengganu yang diterajui parti itu.

"PAS menyasarkan golongan LGBT sejak kebelakangan ini ketika terdapat isu serius yang perlu ditangani di Kelantan dan Terengganu. Sebagai contoh, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat telah melahirkan kebimbangan berhubung kes penderaan seks kanak-kanak yang tinggi, iaitu sebanyak 59, direkodkan di Kelantan pada 2022," katanya.

Dia menambah bahawa 224 jenayah seksual dilaporkan di Kelantan pada 2021.

“Menurut media, terdapat 51 kes rogol dalam tempoh tujuh bulan pertama 2021, dan polis berkata ramai mangsa berusia antara 13-16 tahun,” kata Charles.

ADS

Dia seterusnya berkata kemiskinan, khususnya dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri-negeri itu, merupakan satu lagi isu yang perlu ditangani.

“Laporan berita pada 2021 mengatakan 100 peratus isi rumah Orang Asli di Terengganu hidup di bawah paras garis kemiskinan negara. Kelantan berada di tempat kedua, dengan 83.3 peratus masyarakat orang aslinya hidup dalam kemiskinan.

"Daripada mencipta pekerjaan untuk mengurangkan kerugian pendapatan dan kenaikan harga makanan, PAS lebih suka menyerang golongan minoriti LGBT, yang meningkatkan risiko jenayah kebencian dan keganasan terhadap mereka," kata Charles, yang berkhidmat sebagai ahli parlimen Klang dari 2008 hingga 2022 .

Semalam, Ahli Parlimen PAS Ahmad Marzuk Shaary (Perikatan Nasional-Pengkalan Chepa) menggemparkan Dewan Rakyat dengan analisisnya terhadap LGBT.

Dia menyifatkan gaya hidup kumpulan itu sebagai "melepasi batasan kehaiwanan".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS