Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua RUU di bawah Kementerian Kewangan dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat
Diterbitkan:  Mar 14, 2023 9:12 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

PARLIMEN | Rang Undang-undang Kewangan 2023 dan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa selari dengan pengumuman Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong ketika membentangkan kedua-dua RUU itu untuk bacaan kali pertama berkata bacaan kali kedua juga akan dibuat pada sesi persidangan kali ini.

RUU Kewangan 2023 melibatkan pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), Akta Cukai Keuntungann Harta Tanah 1976 ( Akta 169), Akta Setem 1949 dan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 (Akta 543).

Semasa pembentangan Belanjawan 2023, Anwar mengumumkan kadar cukai pendapatan individu M40 dikurangkan sebanyak dua peratus bermula tahun ini membabitkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000 setahun.

Kerajaan turut mengumumkan cadangan pengurangan kadar cukai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada 17 peratus kepada 15 peratus bagi pendapatan RM150,000 pertama.

Mengikut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, perenggan 16 (a) RUU itu bertujuan untuk meminda perengggan 1 Bahagian 1 Jadual 1 kepada Akta 53 untuk mengadakan peruntukan bagi pendapatan yang boleh dikenakan cukai dan kadar cukai pendapatan baru yang terpakai bagi individu.

Manakala, perenggan 16 (b) bertujuan meminda perenggan 2A Bahagian 1 Jadual 1 Akta 53 untuk mengadakan peruntukan bagi pendapatan yang boleh dikenakan cukai dan kadar cukai pendapatan baru yang terpakai bagi syarikat yang bermastautin dan diperbadankan di Malaysia yang mempunyai modal berbayar berkenaan dengan syer biasa sebanyak RM2,500,000 dan kurang dan pendapatan kasar daripada sumber perniagaan tidak melebihi RM50 juta.

Subperenggan 4 (a) (i) bertujuan untuk meminda perenggan (b) peruntukan kepada perenggan 46 (1) (g) Akta 53 untuk menaikkan had amaun keseluruhan potongan perseorangan daripada RM8,000 kepada RM10,000 bagi perbelanjaan di bawah perenggan berkenaan susulan kenaikan had pelepasan cukai rawatan perubatan.

Pindaan kepada Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 termasuk pindaan subperenggan 3 (1) (b) (ii) Akta 169 untuk memperuntukkan, berkenaan dengan pemindahmilikan aset yang dimiliki oleh seseorang yang disebut dalam subperenggan berkenaan kepada suatu syarikat yang mana harga lupusan aset yang boleh dikenakan cukai disifatkan sebagai sama dengan harga perolehan aset berkenaan dengan transaksi itu, syarikat itu hendaklah yang diperbadankan di Malaysia.

Sementara itu, subperenggan 19 (a) (i) (B) bertujuan untuk memasukkan subperenggan 3(1) (b) (ia) baru ke dalam Akta 169 untuk memperuntukkan bahawa pemindahmilikan aset antara bekas suami dan isteri menurut suatu perintah oleh mana-mana mahkamah berikutan pembubaran atau pembatalan perkahwinan mereka sebagai salah satu transaksi yang harga lupusan aset yang boleh dikenakan cukai disifatkan sebagai sama dengan harga perolehan aset itu.

Pindaan Akta Setem 1949 adalah untuk meminda antaranya subbutiran 22 (4) Jadual Pertama kepada Akta untuk memperluaskan pengenaan duti setem sebanyak RM10 ke atas surat cara yang merupakan sekuriti pembayaran atau pembayaran balik wang bagi maksud mengikuti mana-mana kursus pengajian.

Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 melibatkan pindaan seperti seksyen 30 untuk memasukkan subseksyen baru 30 (1A) untuk memperuntukan bahawa orang yang boleh dikenakan cukai hendaklah mengemukakan penyata melalui perantaraan elektronik atau secara penghantaran elektronik.

Pindaan RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 bertujuan untuk mengesahkan pengenaan, levi dan pemungutan levi keuntungan luar yang telah dikenakan, dilevi dan dipungut sepanjang tempoh 1 Jan, 1999 hingga 31 Jan, 2023.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS