Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta pendanaan politik: Sepatutnya sebelum PRU lepas - Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said secara peribadi akan memberikan tumpuan terhadap akta berkaitan kebankrapan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

Azalina berkata, berbanding akta pendanaan politik, ia sepatutnya telah diwujudkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu bersama akta antilompat parti.

"Macam-macam saya nak tengok (tambah baik akta)...Tapi secara peribadi saya nak selesaikan masalah rakyat, akta berkaitan kebankrapan.

"Kalau nak tumpu undang-undang pendanaan politik tak sempat. Kenapa sebelum ini tak buat, jadi bila kita adakan pilihan raya umum (PRU) ada akta lompat parti, sepatutnya masa nak hadapi PRU ada akta pendanaan politik," katanya ketika wawancara bersama media hari ini.

Bagaimanapun katanya, akta pendanaan politik tetap diberi perhatian oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Pada 4 Mac lalu, Azalina berkata pindaan Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) yang akan dilakukan sekali lagi bakal membolehkan sekurang-kurangnya 130,000 orang daripada 260,000 kes bankrap mendapat pelepasan kebankrapan mereka.

Cadangan pindaan itu akan dibawa ke Parlimen pada awal bulan depan dan pindaan yang dibuat bagi menambah baik sistem pentadbiran kebankrapan di negara ini.

Dia berkata, dengan pindaan akta itu nanti, sekurang-kurangnya 130,000 orang daripada 260,000 kes bankrap akan mendapat pelepasan kebankrapan mereka.

Selain itu, sebagai menteri undang-undang Azalina berkata dia juga akan memberi tumpuan kepada beberapa undang-undang yang cukup penting kepada masyarakat.

Antaranya rang undang-undang bagi meminda Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].

"Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676], Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah

"Draf pindaan untuk pemansuhan cubaan bunuh diri sebagai suatu kesalahan jenayah Akta Insolvensi 1967, di mana sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan telah diadakan sebelum cadangan pindaan akta tersebut diteliti oleh Jabatan Peguam Negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS