Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco agama ahli politik tunggal ada tauliah ceramah di Terengganu
Diterbitkan:  Mar 14, 2023 4:29 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Rupa-rupanya hanya ada seorang wakil rakyat di Terengganu memiliki tauliah untuk berceramah atau memberi kuliah sama ada di masjid atau surau negeri terbabit.

Itu pun, menurut Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), diberikan kepada wakil rakyat terbabit atas kapasitinya sebagai exco yang bertanggungjawab bagi portfolio agama.

Yang Dipertua Maidam Shaikh Harun Shaikh Ismail (gambar atas) berkata wakil rakyat yang memiliki tauliah daripada badan agama berkenaan ialah Mohd Nor Hamzah.

Adun Bukit Payung itu merupakan exco pembangunan insan, dakwah dan penerangan Terengganu. Dengan tauliah yang ada dia boleh memberi ceramah atau kuliah di negeri berkenaan.

Menurut Shaikh Harun selain daripada Mohd Nor, tiada mana-mana Adun, ahli parlimen atau senator dari Terengganu yang memiliki tauliah daripada Maidam.

“Tauliah yang dimiliki Mohd Nor itu diberikan atas kapasiti exco kerajaan negeri yang menjaga hal ehwal agama,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Mohd Nor Hamzah

Baru-baru ini Maidam menyertai beberapa negeri lain yang mengeluarkan arahan melarang orang politik menyampaikan kuliah agama, ceramah dan penganjuran aktiviti kepartian di semua masjid dan surau di Terengganu.

Selain itu Maidam juga tidak dibenarkan mereka menjadi imam dan khatib di masjid dan surau di negeri itu.

Menurut Shaikh Harun arahan tersebut dikeluarkan ekoran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Bagaimanapun di sebalik larangan itu Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilihat meneruskan kegiatan kuliahnya di Masjid Rusila, Marang.

Shaikh Harun berkata pihak berkuasa agama di Terengganu memang terbuka untuk menerima permohonan mendapatkan tauliah daripada mana-mana individu yang berminat.

Katanya mereka boleh mengemukakan permohonan secara kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu sebelum dipanggil untuk ditemu duga.

Menurut Shaikh Harun jawatankuasa penilai itu dipengerusikan Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Haron.

“Bagaimanapun sebelum ini tidak terdapat ahli politik yang memohon mendapatkan tauliah tersebut secara rasmi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS