Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Datuk Roy' direman tiga hari
Diterbitkan:  Mar 14, 2023 1:34 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Individu yang dikenali sebagai “Datuk Roy” telah direman tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan SPRM terhadap program Jana Wibawa.

Peguamnya Fahmi Abd Moin mengesahkan dengan media bahawa Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan perintah reman sehingga 16 Mac.

Peguam itu berkata perintah itu dikeluarkan majistret Noorelyna Hanim Abd Halim.

“SPRM telah memohon reman tujuh hari. Bagaimanapun, kami membantah kerana alasan yang diberikan tidak konkrit.

“Oleh itu mahkamah membenarkan reman tiga hari sehingga 16 Mac,” kata Fahmi. SPRM diwakili oleh pegawainya Ahmad Ashraf.

Fahmi menambah, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Seksyen 17(a) menyatakan bahawa seseorang melakukan kesalahan jika “sebagai seorang ejen, dia secara rasuah menyetuju terima atau memperoleh, atau bersetuju untuk menyetuju terima atau cuba untuk memperoleh, daripada mana-mana orang, untuk dirinya sendiri atau untuk mana-mana orang lain, apa-apa suapan sebagai suatu dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan, apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau kerana memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal ehwal atau perniagaan prinsipalnya"

Semalam, New Straits Times melaporkan individu itu, yang dikehendaki SPRM untuk membantu siasatan berhubung skim Jana Wibawa telah menyerah diri.

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebagai berkata Mohd Hussein Mohd Nasir (atas), yang dikenali sebagai “Datuk Roy”, menyerahkan diri malam tadi.

Terdahulu, Bernama melaporkan pihak berkuasa sedang mencari lelaki berusia 54 tahun itu dan menggesa orang ramai tampil bagi memberi maklumat.

Laporan itu mencadangkan bahawa individu itu adalah "dalang" kegiatan jenayah.

Pihak berkuasa setakat ini telah mendakwa tiga ahli politik - termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan - berhubung skim Jana Wibawa.

Skim Jana Wibawa telah dilancarkan pada 2020 sebagai satu cara untuk membantu kontraktor bumiputera yang terjejas semasa pandemik Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS