Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Sejarah tercipta hari ini apabila anak kelahiran Ipoh, Michelle Yeoh telah memenangi anugerah Oscar untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Everything Everywhere All At Once. Ini telah menjadikan dia anak Malaysia dan wanita Malaysia pertama yang memenangi anugerah berprestij ini.

Dalam ucapannya dia telah menyebut, “ladies, don’t let anyone tell you, you are ever past your prime”.

Wanita sering berlumba dengan masa kerana dalam dunia ini, wanita seolah-olah 'barang' yang mempunyai tarikh luput. Sering kali wanita ditolak dan diketepikan oleh kerana faktor usia, selain daripada faktor-faktor lain. Perkara sebegini tidak pula terjadi kepada kaum lelaki, seolah-olah mereka ini adalah golongan yang tidak akan dimamah usia.

Pada 8 Mac 2023, sekali lagi dunia menyambut Hari Wanita Sedunia. Kita boleh dengar banyak ucapan menghargai kaum wanita disuarakan. Namun adakah ini sekadar retorik kerana realitinya wanita masih lagi didiskriminasi dan diperlekeh dalam pelbagai hal.

Baru-baru ini, kerajaan Taliban di Afghanistan telah membatalkan semua penceraian dan memaksa wanita yang sudah bercerai agar kembali ke pangkuan bekas suami mereka. Wanita-wanita yang dahulunya telah bebas daripada ikatan perkahwinan yang penuh dengan penderaan dan kesengsaraan kini terpaksa kembali ke lembah tersebut.

Ketika tempoh awal pemerintahan semula Taliban, mereka menghalang wanita daripada pergi ke sekolah dan universiti untuk belajar, selain menghalang mereka bekerja. Melalui dasar-dasar ini, Taliban yang begitu sinonim dengan Islam di mata dunia telah menggambarkan bahawa tiada nilai keadilan, perikemanusiaan dan kesamarataan di dalam agama ini.

Saya hairan, apakah nilai dan tanggapan mereka terhadap wanita. Adakah mereka tidak ada sedikit rasa kasihan dan perikemanusiaan terhadap wanita? Adakah pada pandangan mereka, wanita ini hamba abdi yang diciptakan sebagai satu alat untuk membiak sahaja?

Jika kita memberikan contoh ini, ramai akan menyatakan “ah, ini berlaku jauh dari Malaysia..”. Namun di negara ini, wanita juga tidak ketinggalan daripada menjadi mangsa polis-polis moral yang tidak jemu mendiskriminasi dan menidakkan kesamarataan gender. Sebelum ini saya ada menyentuh soal diskriminasi terhadap pemakaian wanita dan sejak dari itu sudah beberapa kali kes serupa terjadi di negara kita. Masyarakat seolah-olah tidak mampu berfikir rasional apabila ada sesuatu perkara yang berkaitan dengan wanita terjadi.

Wanita di Malaysia sering dihakimi jika mempunyai pandangan yang di luar daripada pandangan biasa, yang berfikiran terbuka dan liberal, yang lantang dan berani. Idea-idea yang luar biasa yang mencabar kewibawaan lelaki acap kali dilabel sebagai ekstrem dan dicemuh.

Adat resam digunakan sebagai senjata untuk mengikat kebebasan pemikiran dan juga perlakuan wanita. Bahkan beberapa dasar pada masa lalu begitu menekan dan menyekat wanita dan tidak mengambil kira kemungkinan perubahan dalam pemikiran dan kehidupan wanita pada masa hadapan. Ini kerana dasar seumpama ini dirangka oleh kaum lelaki.

Sebagai contoh, dasar berkaitan hak kerakyatan anak kepada wanita Malaysia dengan pasangan dari luar negara. Sehingga saat ini, hanya janji sahaja yang ditaburkan oleh pihak kerajaan untuk membuat pindaan terhadap dasar tersebut. Masih tiada tindakan.

Maka saya tertanya-tanya mengapa perkara sebegini tidak ada tindakan segera daripada kerajaan. Adakah kerakyatan anak-anak ini tidak penting buat kita? Mengapa masih ditangguhkan?

Perkahwinan bawah umur juga antara isu yang membelenggu kanak-kanak perempuan di negara kita, dan malah di seluruh dunia. Isu ini antara contoh adat resam digunakan sebagai senjata terhadap wanita. Keengganan beberapa negeri untuk menaikkan had usia wanita dibenarkan berkahwin, dengan melontarkan pelbagai alasan, sangat mengecewakan. Seolah-olah tindakan untuk membendungnya tidak penting bagi mereka.

Namun saya bersyukur kerana Kementerian Pendidikan kini tampil untuk memberikan satu cara untuk membendung perkara ini, iaitu dengan rancangan mewajibkan setiap remaja wanita untuk menghabiskan pendidikan mereka di peringkat menengah. Ini bukanlah jalan penyelesaian namun mungkin boleh menyelamatkan dan memberikan sinar kepada remaja wanita di Malaysia.

Jika ingin dibangkitkan soal wanita ini, terlalu banyak dan pastinya ada kalangan orang lelaki yang merasakan ia terlalu remeh. Namun kini kita perlu terbuka dan menerima hakikat bahawa dunia semakin berkembang. Walaupun di usia 70 tahun, wanita masih layak untuk menempa kejayaan dan mencapai cita-cita. Wanita bukan barang atau makanan yang mempunyai tarikh luput.

Walaupun kami akan menghadapi proses menopaus, ia bukan pengakhiran buat hidup kami. Ia hanya proses yang mana kemampuan kami untuk melahirkan anak telah sampai ke garisan penamat.

Berhentilah mendiskriminasi wanita. Wanita dicipta untuk menyayangi dan disayangi, namun wanita juga mampu untuk mencapai cita-cita dan pergi jauh merentas dunia untuk mencapai kejayaan dan mengharumkan nama keluarga dan negara.

Tahniah Michelle Yeoh. Saya pasti anda telah menjadi inspirasi ramai wanita di luar sana pada hari ini.


NOOR SUHANA ISHAK ialah pegawai khas parlimen dan dasar di Pejabat Anggota Parlimen Bentong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS