Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 1

ULASAN | Undian dalam PRU15 merupakan antara yang paling terpecah-pecah mengikut etnik dalam sejarah Malaysia. Pada masa yang sama, peralihan sokongan yang ketara dapat dilihat berlaku di hampir kesemua komuniti etnik di negara ini. 

Siri yang mempunyai 7 bahagian ini melihat pola undian etnik – kadar turun mengundi dan sokongan terhadap gabungan – pada pilihan raya yang berlangsung November lalu.

Dapatan ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci di sepanjang minggu hadapan. Ia menunjukkan sisi pengundi yang dinamik dan sedang berubah, tidak lagi terikat dengan kesetiaan tradisi kepada parti-parti politik seperti lazim berlaku pada masa lampau. Perubahan itu tidak hanya berlaku dalam kalangan pengundi muda sahaja (pengundian generasi akan dibincangkan dalam siri lain); 

Dengan demokrasi yang lebih luas, krisis Covid-19 dan ketidakstabilan politik, berlakunya anjakan yang mengubah politik pilihan raya ‘dari bawah’, meskipun di saat timbulnya perikatan-perikatan elit baru dan wujudnya pelbagai pilihan berbeza buat para pengundi. 

Dapatan utama: 

Dalam bahagian pertama siri ini, saya menyorot dapatan pada peringkat nasional yang meluas tentang trend undian etnik, menjelaskan kaedah yang digunakan, serta yang pentingnya, batasan dalam kaedah tersebut.

Biar saya tegaskan awal-awal, keputusan pilihan raya empat bulan lalu tidak menggambarkan sokongan politik semasa, terutamanya memandangkan konfigurasi kerajaan, perikatan politik, dan perkembangan politik negara sudah berbeza, hatta untuk tempoh seminggu yang lalu.

Sila ambil maklum bahawa kajian ini lebih komprehensif berbanding analisis awal yang diterbitkan pada bulan November lalu.

Siri analisis 'hampir lengkap' ini adalah berdasarkan dapatan di peringkat pusat-pusat mengundi – dengan jumlah keseluruhan melebihi 7,700 titik, merangkumi hampir setiap ceruk dan kampung di Malaysia (kecuali sepuluh kerusi* di mana helaian mata belum dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya atas faktor cabaran undang-undang yang sedang berjalan).

Jumlah pusat mengundi yang dianalisis adalah sebanyak 95 peratus, termasuk di Borneo.

Berikut beberapa perkara penting untuk diketahui

Variasi kadar turun mengundi mengikut etnik: Meskipun dengan proses penyertaan pilihan raya yang lebih meluas, masih terdapat sejumlah besar pengundi yang tidak mengundi. Angka ini turut berubah-ubah mengikut etnik (dan kawasan) masing-masing.

Peralihan sokongan mengikut etnik: Peralihan sokongan mengikut etnik tidak terhad kepada satu komuniti sahaja, tetapi dapat dilihat merentasi pelbagai komuniti, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Hal ini sebahagiannya disebabkan polarisasi pilihan raya yang berlaku merentasi komuniti. Pun begitu, dapatan dari semasa ke semasa menunjukkan peralihan sokongan yang ketara di kalangan kumpulan pengundi berbeza. Ini mencerminkan gesaan pengundi yang mahukan tadbir urus dan perwakilan yang lebih baik, serta bagaimana mereka digerakkan oleh parti-parti politik. 

Etnik mempunyai kepentingan lebih besar dalam pengundian: Faktor etnik dalam pengundian menjadi lebih ketara kali ini berbanding dua pilihan raya lepas (PRU14 2018 dan PRU13 2013). Ia menggambarkan kerahan etnik yang rancak dalam kalangan pengundi PRU15.

Politik identiti menjadi strategi utama parti-parti politik yang tidak dapat menyampaikan dasar dan tadbir urus yang lebih baik. Ia juga merupakan kesan daripada pemimpin-pemimpin lama yang masih tidak mahu melepaskan naratif masa silam. Kempen PRU15 yang sarat unsur perkauman telah melahirkan pengundi yang lebih berpecah-belah. 

Kepentingan faktor etnik yang lebih ketara dalam pilihan raya mutakhir ini, boleh dikatakan bermula dari era Dr Mahathir Mohamad diperhebat semasa era Najib Razak yang mahu meraih sokongan susulan skandal 1MDB yang membelenggunya, seterusnya semakin mendalam apabila Umno/ BN hilang kuasa pada 2018 kepada Pakatan Harapan yang memenangi PRU14.

Meskipun masyarakat Malaysia lebih bersifat kosmopolitan dan pelbagai, politiknya masih terperangkap dalam kerangka etnik yang jumud, diburukkan lagi oleh pemimpin-pemimpin yang tidak mahu menerima naratif baru. 

Pengundi terpecah mengikut etnik 

Polarisasi politik etnik di kalangan pengundi Malaysia adalah sangat ketara (dan membimbangkan) pada PRU15.

Ini berlaku apabila salah satu gabungan utama, Perikatan Nasional, tidak meraih sokongan selain dari satu komuniti sahaja, manakala gabungan-gabungan lain – Pakatan Harapan dan Umno/Barisan Nasional – meraih sokongan yang tidak seimbang di kalangan komuniti-komuniti berbeza.

Pengundian dalam PRU15 merupakan antara yang paling terpecah mengikut etnik dalam sejarah negara, terutamanya di Semenanjung Malaysia. 

Dengan kejatuhan Umno dan strategi rayuan etnik bersifat perkauman yang menonjol dalam kempen pilihan raya oleh gabungan-gabungan, ‘ruang pertengahan’ untuk kepelbagaian etnik  telah menyempit dengan ketara sekali.

Ironinya, kebergantungan Umno terhadap sokongan etnik sejak era Najib – yang memburukkan kesan polarisasi politik selepas tahun 2015 – akhirnya telah merosakkan hayat politik mereka. 

Variasi sokongan etnik ikut daerah: 

Dapatan menunjukkan terdapat ‘variasi daerah’ berbeza yang berperanan besar dan penting dalam pola sokongan politik bagi etnik, seperti disebut pengkaji Ong Kian Ming .

Hal ini dipengaruhi kekuatan jentera parti, kawalan kerajaan negeri dan dinamik setempat yang berbeza-beza.

Selain itu, terdapat juga perbezaan besar antara kerusi individu di negeri-negeri berbeza.

Meskipun faktor ‘calon’ tidaklah seberapa penting dalam mengekang trend undian etnik yang lebih luas, ia bukanlah langsung tidak signifikan dalam kita memahami perbezaan ketara di peringkat kerusi dan negeri. 

Pola tersendiri Borneo

Sabah dan Sarawak memiliki pola undian etnik tersendiri yang unik dan dinamik. Siri ini memberikan perhatian selayaknya terhadap keunikan mereka. 

Adalah suatu kesilapan untuk memandang enteng dan memukul rata arus perubahan politik yang berlaku di semua tempat di Malaysia.

Mereka yang mengaku menjadi wakil ‘semua orang Melayu’ harus bermula dengan prinsip bahawa identiti etnik itu berubah-ubah dalam masyarakat dan dalam konteks yang berbeza-beza di Malaysia, terutamanya di Borneo. 

Sekilas pandang kaedah kajian

Undian etnik hanyalah satu sudut pandang bagi memahami sikap pengundian di Malaysia. Sudut pandang lain yang penting dari aspek sosio-ekonomi termasuklah generasi (kohort umur), jantina, tahap urbanisasi, semangat kedaerahan, dan kelas. Kajian turut mengambil kira undian ekonomi (persepsi tentang ekonomi) dan peranan agama dan kewarakan dalam pengundian.

Sejak sekian lama, saya menghujahkan (dan mempromosi) sudut pandang berbeza untuk memahami masyarakat Malaysia yang kompleks dan sentiasa berubah. 

Kajian/siri ini mempersembahkan hanya satu sudut pandang sahaja, iaitu undian etnik. Yang lain-lain bakal menyusul (setelah ia siap nanti, memandangkan analisis data adalah kerja yang memakan banyak masa). 

Kajian ini menggunakan kaedah statistik yang dipanggil inferens ekologi, yang menganggarkan tingkah laku individu daripada unit-unit yang dikumpulkan secara mikro. Unit yang dikumpulkan adalah keputusan pilihan raya di pusat mengundi – boleh didapati dari helaian mata rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya – dan pengkelasan pengundi PRU15 mengikut etnik, umur dan jantina di pusat mengundi (dan peringkat saluran) – turut boleh didapati dari SPR.

Tiada data individu peribadi digunakan, memandangkan anggaran dibuat dengan mengumpulkan dan membandingkan kelas-kelas data yang berbeza.

Dengan adanya ribuan unit untuk dibandingkan, suatu inferens atau anggaran tingkah laku kumpulan dihasilkan. Kategori etnik utama/terbesar daripada komuniti berbeza – India, Cina, Melayu, dan Lain-lain – digunakan untuk membentuk (gambaran) undian etnik. 

Analisis awal sebelum ini hanya memfokuskan kepada Semenanjung Malaysia dengan menggunakan data makro. Kajian kali ini lebih ampuh, kerana ia menggunakan lebih banyak titik data.

Dengan itu, analisis ini membolehkan pemahaman berkenaan variasi kawasan/daerah. Perhatian diberikan kepada sokongan pengundi dan kadar turun mengundi untuk gabungan politik berbeza di negeri-negeri yang berbeza. 

Kenapa orang Melayu tinggalkan Umno?

Dengan mempelopori penggunaan kaedah ini untuk memahami undian warga Malaysia di peringkat pusat mengundi dan saluran selama lebih sedekad, inferens ekologi didapati dapat menjelaskan dan meramalkan keputusan pilihan raya. Lebih-lebih lagi di Malaysia, kerana etnik sangat berkait rapat dengan tingkah laku pengundian. 

Bagaimanapun, metodologi ini ada batasannya. Inferens ekologi mungkin dapat membantu mengenal pasti pola/corak, tetapi ia tidak dapat menjelaskan sebab musabab mengapa ia terjadi sedemikian.

Contohnya, mengapa orang Melayu meninggalkan Umno? Di sini, kaedah lain diperlukan – temu bual, kumpulan sasaran, tinjauan, dan analisis media sosial.  Tafsiran saya terhadap angka-angka di dalam siri ini adalah berasaskan ratusan temu bual dan kumpulan sasaran yang dijalankan sebelum dan selepas PRU15. 

Kajian dan kaedah lain diperlukan (dan dialu-alukan) untuk memahami pengundian dengan lebih baik. 

Apa yang penting, dapatan mengenai sokongan pilihan raya hanya tertakluk kepada mereka yang turun mengundi. Meskipun kita boleh menganggar berapa ramai yang tidak mengundi, kita tidak tahu siapakah pihak yang akan mereka pilih (jika mereka turun mengundi).

Kadar turun mengundi PRU15 adalah sebanyak 74 peratus, dengan lebih suku daripada pengundi tidak turun mengundi. 

Inferens ekologi turut terbatas dalam erti kata ia hanyalah anggaran tingkah laku individu berdasarkan ukuran kumpulan yang pelbagai.

Justeru ia harus ditafsirkan hanya sebagai satu petunjuk trend berbanding sebagai satu angka sebenar.  Saya tekankan setegas-tegasnya, dapatan ini tidak harus ditafsir dengan melampau untuk mewakili satu komuniti secara keseluruhannya; kerana tidak ada satu pola sokongan khusus untuk satu-satu komuniti, sebaliknya ia melibatkan banyak pola sokongan. 

Teruskan membaca

Ramai yang tidak akan suka dengan apa yang mereka baca dalam siri ini. Memang begitulah yang sepatutnya. 

Dapatan kajian ini mengesahkan bahawa Malaysia ialah negara yang berpecah-belah secara mendalam dalam aspek pilihan raya. Ia menguatkan lagi gesaan awal saya bahawa banyak lagi yang harus dilakukan bagi menangani perbezaan ini, bagi menjarakkan politik dari unsur perkauman.

Polarisasi politik kekal menjadi realiti yang membimbangkan dalam lanskap politik tanah air. Jika trend yang membimbangkan ini dibiar berterusan, ketidakstabilan politik yang berlingkar di kalangan kelompok elit boleh beransur-ansur berkembang menjadi suatu kuasa yang dipacu ‘dari bawah’. 

Pada masa sama, dapatan ini turut menunjukkan betapa dinamiknya politik Malaysia jika dilihat ‘dari bawah’. Perubahan sentiasa boleh terjadi, namun tidak semua perubahan menyumbang ke arah pembinaan bangsa yang lebih kuat.

Parti politik dan para pemimpin harus sedar yang mereka harus bekerja dengan cekap, untuk menunjukkan hasil, untuk lebih ‘terlibat’ kerana pengundi mahukan sesuatu yang lebih dari mereka. Mereka harus mencuba cara baru dan harus sanggup memilih pemimpin atau gabungan yang berbeza.  

Peralihan undian etnik menunjukkan bahawa semua komuniti tidak harus dipandang enteng. 

*Helaian mata bagi kerusi-kerusi ini tidak digunakan dalam analisis memandangkan ia masih belum tersedia:  Kemaman, Kuala Terengganu, Lubuk Antu, Marang, Masjid Tanah, Putatan, Sandakan, Segamat, Tenom dan Tuaran. 


BRIDGET WELSH ialah Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia (Unari) Universiti Nottingham. Dia juga penyelidik kanan di Hu Fu Centre for East Asia Democratic Studies dan felo kanan di The Habibie Centre. Penulisannya boleh didapati di bridgetwelsh.com. Ikuti siri podcastnya, Kerusi Panas.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS