Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman fitnah Azam Baki terhadap Lalitha didengar 9 Julai tahun depan

Perbicaraan berhubung saman fitnah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki terhadap pemberi maklumat, Lalitha Kunaratnam ditetapkan selama empat hari bermula 9 Julai tahun depan.

Peguam kepada Azam, Mohd Shahir Md Tahir mengesahkan tarikh perbicaraan itu semasa pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Perbicaraan penuh telah dijadualkan semula di hadapan Hakim Akhtar Tahir dari 9 hingga 12 Julai 2024 jam 10.30 pagi melalui (perbicaraan) dalam talian, iaitu melalui aplikasi zum,” kata peguam itu kepada Malaysiakini.

Shahir berkata, tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jan tahun depan telah dilapangkan.

Mahkamah juga menetapkan 7 Jun tahun depan untuk pengurusan kes dalam talian bagi memfailkan keterangan saksi.

Menerusi kenyataan akhbar pada 12 Jan tahun lepas, pasukan peguam Azam dari firma guaman Zain Megat & Murad, mengumumkan tindakan saman fitnah berkenaan.

Azam memfailkan saman itu terhadap Lalitha atas kapasiti peribadi.

Dia sebelum ini mengeluarkan surat tuntutan kepada Lalitha melalui peguamnya, menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM10 juta.

Lalitha mempertahankan laporannya dan mengkritik SPRM kerana menggunakan polis untuk menyiasatnya.

Azam mendapat perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015, bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Dia juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 itu menimbulkan persoalan sama ada ia setimpal dengan pendapatan Azam sebagai penjawat awam.

Dalam sidang media khas pada 5 Jan tahun lalu, Azam tidak mempertikaikan pemilikan saham tersebut sebaliknya mendakwa ia dibeli atas nama adiknya.

Saham itu telah dipindahkan kepada adiknya.

Hampir seminggu kemudian, pada 18 Jan, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan telah menyelesaikan siasatan terhadap kes itu dan tidak dapat memastikan secara muktamad pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Depositari Pusat Sekuriti 1991 (SICDA) telah berlaku.

Bagaimanapun, selepas menerima kritikan, SC menjelaskan bahawa Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun dagangannya sendiri dan tidak menemui bukti perdagangan proksi.

Dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah itu, Lalitha menegaskan dia bersedia untuk membuktikan di mahkamah kandungan artikelnya berhubung isu itu.

Bagaimanapun dalam menjawab pernyataan pembelaan Lalitha, Azam mengatakan Lalitha tidak boleh dianggap sebagai wartawan penyiasat kerana tidak mempunyai kredibiliti dan tidak boleh dipercayai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS