Menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi Sultan Selangor kembali mengingatkan agar tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan menjadikan masjid dan surau di negeri terbabit sebagai pentas berpolitik.
Pada masa sama Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengingatkan agar semua wakil rakyat atau pemimpin politik turut memahami larangan berkenaan dan mengelak daripada menjadikan institusi tersebut sebagai medan propaganda politik kepartian.
“Beta telah beberapa kali bertitah dan mengingatkan Mais (Majlis Agama Islam Selangor) dan Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) agar memastikan masjid serta surau bebas daripada segala unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.
“Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya," titah baginda.
Sultan Sharafuddin menambah ada penceramah tertentu yang mengambil kesempatan atas ruang yang ada di masjid atau surau untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak yang tidak sefahaman dengan mereka.
Tindakan tersebut titah baginda menyebabkan rakyat berpecah-belah.
"Beta amat bimbang jika budaya sebegini tidak dibendung ia akan terus memecahbelahkan umat Islam khususnya orang Melayu,” titah baginda.
Pandangan berkenaan dizahirkan Sultan Sharafuddin ketika majlis pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.
Terdahulu Jais dan Mais berdepan persepsi negatif sesetengah pihak susulan pembatalan program dua penceramah bebas iaitu Azhar Idrus dan Mohamad Wadi Annuar Ayub, asalnya dikaitkan dengan politik.
Bagaimanapun pihak berkuasa agama itu menjelaskan larangan berkenaan dibuat kerana kedua-dua personaliti terbabit tidak memiliki tauliah daripada Mais.
Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad berkata susulan hantaran di Facebook penceramah tersebut pada 5 Mac lalu segelintir pihak membuat komen yang mewujudkan persepsi tidak baik terhadap Sultan Sharafuddin serta kerajaan negeri.
Sementara itu Sultan Sharafuddin juga menyeru agar semua pihak yang terbabit dalam PRN nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat-menghormati satu sama lain.
“Ingatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan.
“Melihat kepada kesan dan implikasi buruk ini, beta menitahkan bahawa hanya mereka yang berkelayakan dan mempunyai tauliah dari Jawatankuasa Tauliah Mais sahaja yang dibenarkan untuk memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid, surau atau di mana-mana tempat di Selangor ini.
“Sekali lagi beta menegaskan bahawa mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan tauliah untuk mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah dari berlaku,” titah baginda.