Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia terus jadi lokasi transit seludup tenggiling

Kedudukan strategik Malaysia menjadikan negara ini kekal sebagai pilihan untuk dijadikan lokasi transit sindiket penyeludupan hidupan liar secara haram.

Antara hidupan liar dirampas pihak berkuasa adalah tenggiling yang dibawa dari Indonesia.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Abdul Kadir Abu Hashim, berkata sindiket penyeludupan didalangi warga tempatan menyimpan tenggiling itu untuk tempoh tertentu sebelum dihantar ke negara pembeli.

"Biasanya tenggiling ini dibawa dari Indonesia dan (sindiket penyeludupan) menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dihantar ke Thailand dan China.

"Begitu juga dengan haiwan lain seperti gading gajah dihantar ke Vietnam dan Thailand manakala burung jenis murai batu pula mempunyai pasaran di Indonesia," katanya dalam sidang media di Taman Negara Tahan, dekat Jerantut, Pahang, hari ini.

Terdahulu, Abdul Kadir bersama Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdul Sani dan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Zazuli Johan menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di situ.

Dia memaklumkan sehingga awal Mac ini, sebanyak 19 kertas siasatan sudah dibuka membabitkan kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.

"Seramai 30 pesalah warga tempatan dan seorang warga asing ditahan dengan nilai rampasan berjumlah RM6.42 juta disita sepanjang tempoh itu," katanya lagi.

Abdul Kadir memberitahu sejak OBK dilancarkan pada tahun 2019, pihaknya dengan kerjasama polis, kastam dan badan bukan kerajaan (NGO) merekodkan RM224 juta nilai rampasan dan sitaan membabitkan aktiviti penyeludupan haram.

Dalam pada itu, Acryl Sani memaklumkan pihaknya merampas 1,010 senjata api dan membatalkan lesen pemilik senjata api terbabit kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan hidupan liar.

"Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan dan melalui OBK ini juga kita percaya aktiviti penyeludupan haram dapat dibanteras," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS