Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bersatu tolak peletakan jawatan Muhyiddin, ikrar taat setia

Lebih 1,000 perwakilan Bersatu dari seluruh negara hari ini sebulat suara menyokong usul khas menolak peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai presiden mereka.

Mereka juga mengikrarkan taat setia kepada ahli parlimen Pagoh tersebut ketika dia sedang berdepan dengan enam pertuduhan jenayah di mahkamah.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata parti itu mengemukakan usul berkenaan selepas ia diputuskan majlis pimpinan tertinggi (MPT) yang bermesyuarat pada malam tadi.

“Ini adalah masa untuk kita sebagai ahli parti bersolidariti menentang kezaliman. Tidak berbangkit isu dan keperluan untuk Tan Sri meletakkan jawatan presiden,” kata Ahmad Faizal semasa mengemukakan usul tersebut.

Menurut Ahmad Faizal, parti itu sedar, tanpa Muhyiddin, Bersatu tidak akan wujud.

“Parti ini lahir di teratak beliau (Muhyiddin). Asas perjuangannya adalah idealisme perjuangannya.

“Kelangsungannya kerana komitmen Tan Sri presiden dan kejayaannya, kerana keyakinan rakyat kepada dia yang dikasihi rakyat dan digelar sebagai abah,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, pengorbanan yang dilakukan ahli Parlimen Pagoh itu juga tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Pelbagai jenis cabaran dan dugaan, naik dan turun telah dilalui olehnya. Dia pernah dipecat, dia pernah didesak melepaskan jawatan dan hari ini pula dia dituduh dengan penuh kezaliman.

“Abah kita sentiasa bersama kita. Kini masanya untuk kita bersamanya,” tambah Ahmad Faizal.

Usul tersebut dibentangkan di depan para perwakilan yang berkumpul di Menara PGRM, Kuala Lumpur, yang kemudian berdiri serta bersorak sebagai tanda menyokong Muhyiddin.

Muhyiddin - yang kini berdepan dengan enam pertuduhan jenayah di mahkamah - berada di atas pentas bersama pemimpin Bersatu yang lain.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin - yang menyampaikan ucapan menyokong usul itu - turut mengecam apa yang mereka sifatkan sebagai "penganiayaan politik" berterusan dan serangan langsung daripada "pakatan tidak suci" kerajaan ke atas pembangkang.

“Jangan dinoktahkan perjuangan yang suci, ikhlas dan jujur ini. Hasrat musuh untuk tamatkan perjuangan Tan Sri (Muhyiddin ) kami tidak izinkan, kami mahu Tan Sri terus berjuang sebagai presiden kami.

“Demi sebuah perjuangan, demi Rakyat, bertahanlah Tan Sri selagi hayat dikandung badan. Kerana itulah resmi seorang pejuang, pendekar berzaman,”kata Hamzah.

Keputusan usul itu disahkan Pengerusi Tetap Mohd Suhaimi Abdullah.

“Dengan sokongan tadi dengan cara persetujuan berdiri, maknanya semua setuju, terima kasih dengan ini sah tan sri masih presiden kita,”katanya.

Muhyiddin ketika ucapannya menerima keputusan Bersatu itu dan akan meneruskan tugas sebagai presiden.

Semalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara menolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai presiden Bersatu.

Hamzah memaklumkan perkara itu diputuskan mesyuarat khas MPT.

Katanya, MPT menegaskan pertuduhan ke atas Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai presiden, bukannya pertuduhan atas kapasiti peribadi.

Hamzah juga mendakwa presiden Bersatu itu menjadi mangsa "fitnah dan kezaliman."

Sebelum ini, ahli parlimen Pagoh itu ditanya jika dia akan melepaskan jawatannya dalam parti seperti mana yang dilakukan bekas ketua penerangan Bersatu itu Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu pada 21 Feb lalu mengumumkan keputusannya untuk mengundur diri daripada jawatan tersebut selepas berdepan dua pertuduhan mahkamah membabitkan dakwaan rasuah sebanyak RM6.9 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS