Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal mahu pastikan usia ketua Pemuda Umno bawah 40 tahun

Meminda perlembagaan bagi menetapkan umur calon ketua Pemuda Umno di bawah 40 tahun antara agenda utama Dr Muhamad Akmal Saleh yang dipilih sebagai ketua sayap parti itu semalam.

Katanya langkah itu perlu dibuat walaupun orang lain "tidak berani" untuk melakukannya sebelum ini.

"Kita akan menggubal perlembagaan untuk memastikan umur ketua pemuda Umno mestilah juga di bawah umur 40 tahun.

"Selama ini orang tak berani nak buat," katanya ketika ditemui media di Menara Dato Onn. Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam tadi.

Dia yang juga exco Melaka turut menegaskan kemenangan yang dicapainya semalam - dengan majoriti besar - menunjukkan Umno kekal bersatu dan tidak wujud sebarang kem dalam parti terbabit.

"Kalau saya menang (dengan majoriti) satu dua undi, itu mungkin (bukti) ada kem dan berpecah, tapi dengan majoriti yang tinggi, ini menunjukkan Umno sekarang mesti datang satu pasukan yang kuat.

"Tugasan utama saya untuk memberitahu tiada langsung kem di WTC (Pusat Dagangan Dunia KL) atau di mana-mana, yang ada hanya kem Umno Malaysia saja," katanya.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Muhamad Akmal yang juga Adun Merlimau memperolehi 103 undi dari seluruh negara manakala seorang lagi calon, Mohd Shahar Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, memperoleh 16 undi.

Dua lagi pencabar ialah senator Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali. Armand Azha masing hanya memperoleh enam undi manakala Meor Hassan gagal mendapat sebarang undi.

Sementara itu, Armand Azha mengucapkan tahniah kepada Muhamad Akmal yang dipilih menggantikan Asyraf Wajdi Dusuki yang tidak bertanding kali ini.

Armand Azha berkata, menang ataupun kalah adalah adat dalam pertandingan dan dia menerima keputusan dengan hati terbuka.

"Alhamdulilah proses demokrasi partl telah selesai. Sebagai Seorang yang senantiasa menghormati proses demokrasi dan keputusan rasmi parti saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada 'adik saya' saudara Akmal yang telah diberikan mandat oleh para perwakilan pergerakan Pemuda Umno.

"Menang kalah itu adat dalam pertandingan keluarga besar Umno dan jangan ada yang patah semangat.

"Ayuh kita kembali bertaut untuk kita perkukuhkan parti kerana itu adalah agenda utama. Kepentingan parti melebihi kepentingan individu," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS