Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MPT Bersatu tolak Muhyiddin lepaskan jawatan presiden
Diterbitkan:  Mar 11, 2023 11:19 PM
Dikemaskini: 11:59 PM

Setiausaha Agung Hamzah Zainuddin mengumumkan Muhyiddin Yassin masih lagi teraju utama parti itu meskipun dia sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah.

"MPT sebulat suara menolak perletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai presiden Bersatu.

"Ini kerana MPT menegaskan bahawa pertuduhan ke atas Muhyiddin Yassin dibuat atas jawatan beliau sebagai presiden Bersatu dan bukannya pertuduhan atas kapasiti peribadi.

"MPT memohon semua ahli dan penyokong bersabar dan bertenang dalam menghadapi ujian yang besar terhadap presiden dan parti Bersatu," katanya pada satu kenyataan malam ini.

Hamzah juga mendakwa presiden Bersatu itu menjadi mangsa "fitnah dan kezaliman."

Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang telah dipengerusikan oleh Muhyiddin.

Semalam, pengerusi PN itu meminta dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Dia berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Muhyiddin juga berkata dia akan mematuhi keputusan majlis tertinggi Bersatu berhubung kedudukannya sebagai presiden.

Sebelum ini, ahli parlimen Pagoh itu ditanya jika dia akan melepaskan jawatannya dalam parti seperti mana yang dilakukan bekas ketua penerangan Bersatu itu Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu pada 21 Feb lalu mengumumkan keputusannya untuk mengundur diri daripada jawatan tersebut selepas berdepan dua pertuduhan mahkamah membabitkan dakwaan rasuah sebanyak RM6.9 juta semalam.

Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata keputusan Wan Saiful itu adalah tindakan yang bermaruah dan dihargainya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Saiful hari ini berkata dia melepaskan jawatan ketua penerangan Bersatu kerana itu jawatan lantikan dan bukan dipilih.

Lantaran itu, Wan Saiful yang masih memegang jawatan ahli MPT Bersatu menjelaskan Muhyiddin juga tidak perlu melepaskan jawatan presiden kerana ia dipilih oleh ahli parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS