Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Fayhsal intai jawatan lebih tinggi dalam Bersatu

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan Bersatu yang akan datang, sebaliknya bakal merebut jawatan di peringkat tertinggi parti.

Ahli parlimen Machang itu berkata keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira usianya yang kini telah melepasi had usia untuk keahlian sayap belia Bersatu itu, seperti tertakluk dalam peraturan Armada.

"Sebagai seorang yang berumur 36 tahun, saya sudah pun melebihi had umur yang sah sebagai ahli Armada.

“Saya akan beralih ke jawatan lebih tinggi, apa jawatannya tidak akan saya umumkan hari ini, tapi yang pasti saya akan bertanding ke jawatan lebih tinggi," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu 2022, di Kuala Lumpur hari ini.

Difahamkan pemilihan peringkat pusat Bersatu akan berlangsung pada November tahun ini manakala peringkat bahagian pula pada bulan Oktober 2023 dan cawangan pada Julai 2023.

Mengulas mengenai penglibatan Armada pada Pilihan Raya Negeri nanti, Wan Ahmad Fayhsal berkata dia telah pun mencadangkan beberapa calon daripada Armada untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan tertinggi Bersatu.

"Buat masa sekarang kita sudah ada (nama calon) tapi itu hanya cadangan, kerusi kita belum tahu lagi berapa yang dipersetujui di peringkat DUN dan masih dalam peringkat rundingan lagi.

"Saya boleh cakap memang akan ada calon sekurang-kurangnya satu calon Armada di setiap negeri kerana itu adalah tradisi," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan dasarnya Wan Ahmad Fayhsal berkata dia berpuas hati dengan peningkatan penyertaan ahli Armada pada tahun 2022 iaitu seramai 11,637 keahlian baru atau peningkatan sebanyak 9.6 peratus berbanding tahun 2021.

"Prestasi ini perlu konsisten kerana melalui penambahan ahli-ahli, lebih banyak bakat baru dapat menyumbang dalam memastikan parti ini kekal relevan," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS