Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin serah kepada MPT untuk putuskan jawatan presiden

Muhyiddin Yassin menyerahkan segala keputusan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menentukan sama ada dia akan terus menjawat jawatan presiden atau pun tidak.

Bercakap kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini Muhyiddin berkata dia juga  akan akur dengan ketetapan yang akan dibuat MPT berhubung kedudukannya.

“Saya akan bawa kedudukan saya pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk mereka putuskan.

“Kerana saya berbeza dengan Wan Saiful Wan Jan, saya adalah presiden yang dipilih oleh parti.

“Saya akan serah kepada MPT dalam tempoh paling dekat apa sahaja keputusan mereka buat saya akan akur,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya sama ada sedia melepaskan jawatannya dalam Bersatu atau pun tidak.

Wan Saiful sebelum ini melepaskan jawatan sebagai ketua penerangan Bersatu selepas berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah.

Katanya, tindakan itu untuk menetapkan satu  standard supaya pertuduhan dihadapi tidak menimbulkan salah pandangan terhadap parti.

'AGC putuskan dakwa sebelum saya beri keterangan SPRM'

Sementara itu, mengulas pendakwaan terhadapnya, ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa pertuduhan terhadapnya telah dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum sisatan dilengkapkan. 

“Semalam, sebelum keterangan saya diambil berhubung dakwaan saya menyalahgunakan kuasa meluluskan rayuan pengecualian cukai oleh Yayasan Al-Bukhary saya diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah membuat keputusan untuk mendakwa saya. 

“Bagaimana keputusan untuk mendakwa telah dibuat sedangkan keterangan saya mengenainya belum diambil?

“Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. 

“Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di atas empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin ,75, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyalahgunakan kedudukan tersebut untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti tersebut.

Selain itu, Muhyiddin turut menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS