Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin beri kata putus jawatan dalam Bersatu, PN lepas pendakwaan
Diterbitkan:  Mar 9, 2023 9:47 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memutuskan sama ada melepaskan jawatan beliau sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selepas pendakwaan di mahkamah.

"Tunggulah, saya belum didakwa, nanti kita akan buat keputusan dan kita akan umumkan," katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberi keterangan lebih lapan jam.

Terdahulu, beliau tiba di ibu pejabat SPRM pada 11.15 pagi untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu berkaitan.

Muhyiddin kemudian ditahan pada 1 tengah hari dan dibebaskan pada 8.20 malam.

Ahli Parlimen Pagoh itu dijangka didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok dan bakal berdepan pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan melepaskan jawatan selepas didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Muhyiddin juga berkata beliau bakal berdepan tujuh pertuduhan berkaitan projek Jana Wibawa dan rayuan pembatalan cukai oleh ahli perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Beliau akan hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur esok dan Mahkamah Shah Alam pada Isnin untuk menjawab kesemua pertuduhan terhadap dirinya.

“Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan saya akan jawab segala pertuduhan terhadap saya di mahkamah,” katanya.

Ditanya proses rakaman keterangan yang mengambil masa kira-kira sembilan jam, Muhyiddin berkata ia memakan masa yang lama kerana pegawai SPRM menjalankan tugas dengan teliti serta berhemah, tidak kasar dan saling menghormati selain melihat satu persatu rekod tersebut.

"Tiada tekanan dan saya hargai kerjasama pegawai SPRM," katanya.

Mengenai kemungkinan rusuhan oleh penyokong beliau, Muhyiddin berkata PN dan Bersatu adalah parti yang aman manakala penyokongnya sedar rusuhan bukan tindakan yang betul ketika rakyat berdepan cabaran ekonomi.

"Ia bukan tentang Muhyiddin sebaliknya adalah tentang Bersatu dan PN. Mereka tahu bagaimana mahu menjaga sekuriti dan keselamatan rakyat," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS