mk-logo
Berita
Razman: Tangkap pemimpin pembangkang - politik 'tak bertamadun'
Diterbitkan:  Mar 9, 2023 6:26 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mendakwa tindakan menangkap pimpinan politik pembangkang dan menghadapkan mereka ke mahkamah merupakan langkah "politik tidak bertamadun."

"Kenyataan media perdana menteri dan menteri kewangan lebih menjurus kepada apa yang disifatkan 'pembongkaran' kerja keras kerajaan lalu yang dengan wajah yang hodoh.

"Tindakan ini bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia yang menjadi slogan perjuang PH ketika pembangkang,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Razman juga mendakwa taktik ini bertujuan mengalih perhatian kerajaan daripada tugas utamanya untuk meningkatkan ekonomi dan membantu rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi serta kejatuhan mata wang negara.

Selain itu, Razman mendakwa tiada kebebasan dalam mengkritik kerajaan hari ini, berkata sekatan itu "hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik negara."

Pemimpin PAS itu kemudiannya menyeru kerajaan menumpukan kepada perpaduan, meningkatkan ekonomi dan membantu rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup dan kejatuhan mata wang negara.

Dia menggesa kerajaan menyerahkan tugas penguatkuasaan kepada pihak berkuasa sedia ada dan tidak menekan mereka untuk mencari atau mencipta bukti terhadap musuh politik.

"Rakyat sedang memerhati situasi yang berlaku, begitu juga ahli parlimen dan Adun, masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan politik yang bersama kebangkitan rakyat.

Gambar fail, Wan Saiful Wan Jan di pekarangan mahkamah.

"Perubahan politik boleh berlaku pada bila-bila masa melalui jalan demokrasi yang terbuka.

"Jangan jadikan politik balas dendam sebagai bayangan perjalanan politik terhadap kekecewaan lampau. Ini semua tidak baik untuk masa depan rakyat dan negara," kata Razman lagi.

Pun begitu, Razman tidak menyebut dengan jelas kes penangkapan terhadap pemimpin pembangkang yang dimaksudkannya itu.

Dia mungkin merujuk siri tangkapan dan tuduhan oleh SPRM yang dihadapi pemimpin Bersatu, dengan siasatan terbaru terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Sumber yang rapat dengan siasatan mendedahkan bahawa presiden Bersatu itu akan didakwa mengikut beberapa peruntukan Akta SPRM di mahkamah di Kuala Lumpur esok.

Jika Muhyiddin didakwa, ia merupakan siri pertuduhan terbaru terhadap pemimpin Bersatu sejak pertengahan Februari lalu.

Pada 21 Feb, Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta rasuah jumlah yang tidak ditentukan dan satu lagi pertuduhan menerima rasuah RM6.96 juta pada 2022.

Beberapa pertuduhan turut dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Menurut SPRM, pertuduhan ini dikaitkan dengan skim Jana Wibawa - projek rangsangan ekonomi yang dimulakan oleh pentadbiran Muhyiddin sebagai langkah bantuan pandemik Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS