Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes pinda audit 1MDB: Pendakwaan rayu batal pembebasan Najib

Pihak pendakwaan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit syarikat pelaburan negara itu.

Sumber yang rapat dengan pihak pendakwa raya mengesahkan notis rayuan difailkan awal hari ini berhubung penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Pada tarikh itu, hakim Mohamed Zaini Mazlan membebaskan dan melepaskan Najib dan Arul Kanda, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie case terhadap kedua-dua mereka di akhir kes pendakwaan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016 untuk menghalang sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Arul Kanda Kandasamy

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dalam kes rasuah SRC International RM42 juta yang berasingan.

Pada 7 Sept tahun lepas, pihak pendakwaan menutup kes terhadap kedua-dua mereka selepas memanggil 16 saksi, termasuk Arul Kanda, untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama 43 hari.

Sejak perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019, mereka yang turut menjadi saksi untuk pendakwaan ialah bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua audit negara, Ambrin Buang dan Madinah Mohamad, pegawai Jabatan Audit Negara Nor Salwani Muhammad, dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh.

Salwani sebelum ini memberi keterangan bahawa dia menyimpan salinan laporan audit asal 1MDB sebelum pengubahsuaian yang didakwa berlaku ke atas laporan yang akan dibentangkan kepada PAC pada 2016.

Najib Razak

Pihak pendakwaan berhujah bahawa selepas mesyuarat pada 24 Feb 2016, keputusan dibuat untuk mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan kehadiran ahli perniagaan dan tokoh penting Low Taek Jho (Jho Low) pada mesyuarat lembaga pengarah daripada 1MDB.

Isu lain yang didakwa digugurkan daripada laporan audit ialah dua penyata kewangan 2014 1MDB yang bercanggah.

Selain Arul Kanda dan Ali, mereka yang hadir pada mesyuarat itu ialah Ambrin, bekas pegawai Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, Shukry, dan wakil Jabatan Peguam Negara ketika itu, Dzulkifli Ahmad.

SRC sbelum ini adalah anak syarikat 1MDB, tetapi kemudiannya dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), yang juga memiliki sepenuhnya firma pelaburan negara itu.

Najib pernah menjadi penasihat emeritus kepada SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB juga.

Najib Razak

Selepas proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Najib kini memohon semakan untuk membatalkan keputusan bersalah dan hukumannya dalam kes SRC yang membabitkan penyelewengan RM42 juta. Panel baru Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan mereka berhubung permohonan itu selewat-lewatnya sebelum 31 Mac.

Bekas ahli Parlimen Pekan itu juga mempunyai tiga lagi kes mahkamah jenayah yang belum selesai, iaitu perbicaraan rasuah 1MDB membabitkan RM2.28 bilion, kes pengubahan wang haram SRC International yang berasingan melibatkan RM27 juta, dan kes pecah amanah RM6.6 International Petroleum Investment Company (IPIC).

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS