Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dijangka keluar daripada bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, lewat petang ini.
Mengesahkan perkara itu, Ketua penerangan Bersatu Razali Idris, berkata Muhyiddin selepas itu akan terus ke markas PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur untuk solat hajat.
“Tan Sri dijangka lama, lama itu sampai malam, kami semua pimpinan akan berhimpun di Taman Melewar. Bagaimanapun, selepas selesai, Tan Sri akan sertai pimpinan untuk solat hajat selepas selesai disiasat,” katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, mengesahkan Muhyiddin akan didakwa esok.
Setakat laporan ditulis, sudah empat jam SPRM masih mengambil keterangan Muhyiddin yang tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada 11.15 pagi tadi.
Malaysiakini juga turut dimaklumkan oleh sumber SPRM bahawa Muhyiddin akan menghadapi banyak pertuduhan jenayah di mahkamah di Kuala Lumpur esok.
Menurut sumber yang dekat dengan siasatan, dia akan didakwa bawah beberapa peruntukan mengikut Akta SPRM.
Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada agensi antirasuah itu akan menahan Muhyiddin semalaman sebelum membawanya ke mahkamah, kerana pegawai penyiasat masih belum membuat keputusan.
Bulan lalu, Muhyiddin disiasat berkaitan siasatan terhadap dua akaun bank Bersatu, yang telah dibekukan.
SPRM membekukan akaun bank berkenaan untuk membantu siasatan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. Kedua-dua akaun itu dilaporkan mempunyai kira-kira RM40 juta.
Muhyiddin adalah yang individu terbaru dalam siri pertuduhan yang dikenakan terhadap pemimpin Bersatu sejak pertengahan Februari.
Pada 21 Feb, Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM6.96 juta pada 2022.
Beberapa pertuduhan turut dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.
Menurut SPRM, pertuduhan itu berkaitan dengan skim Jana Wibawa - projek rangsangan oleh pentadbiran Muhyiddin ketika itu sebagai sebahagian daripada usaha bantuan wabak Covid-19.
Perkembangan siasatan kes berkenaan mendapat liputan ramai pengamal media tempatan dan asing, selain penyokong PN yang berkumpul di luar bangunan SPRM sejak tujuh pagi.