Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan jadikan pemilihan Umno medan untuk jadi calon PRN, kata Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa calon parti itu dalam PRN akan datang tidak akan ditentukan berdasarkan jawatan yang disandang.

Ahmad Zahid berkata demikian di saat ramai ahli Umno yang menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan parti pada bulan ini.

"Calon ditentukan bukan kerana memegang jawatan dalam parti, tetapi disebabkan 'kebolehmenangan' di suatu kawasan. Dalam keadaan begitu pun kita tahu kekalahan akan tetap berlaku.

"Maka, diharapkan pemilihan kali ini bukan menjadi tapak untuk kita menjadi calon (pilihan raya)," katanya ketika berucap pada sesi pengenalan calon pemilihan Umno, di Shah Alam, malam tadi.

Pada PRU15 yang lalu, BN mengalami kekalahan teruk dalam sejarah politiknya dengan hanya meraih 30 kerusi Parlimen.

Daripada jumlah itu, 26 kerusi adalah daripada Umno dan selebihnya daripada MCA dan MIC.

Bagaimanapun, BN tetap menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan bekerjasama dengan PH dan kini dilihat hampir pasti akan menyertai PRN di enam negeri - iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu - bersama-sama gabungan itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datuk menegaskan kepimpinan Umno selepas pemilihan nanti perlu dibarisi kalangan yang setia dan tidak menyerang parti.

"Kita tidak mahu ada duri dalam daging, kita tidak mahu ada gunting dalam lipatan. Jangan kemenangan kita disebabkan oleh tarian-tarian yang dicipta oleh dalang-dalang di belakang.

"Kita mesti menang atas kebolehan kita, bukan ditunjuk oleh orang luar. Pertandingan ini antara kita sedarah daging, biarpun ada parti-parti luar sibuk campur dengan Umno," katanya tanpa menyebut secara jelas pihak yang dimaksudkannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS