Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya akan bayar sendiri pampasan pada keluarga, kata Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dia sendiri akan membayar pampasan untuk perbelanjaan pembakaran mayat kepada keluarga yang sebelum ini menerima makluman salah bahawa anaknya telah meninggal di penjara dan hampir menjalankan upacara membakar mayat yang dibawa pulang.

Terdahulu, M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) berkata keluarga itu telah mengeluarkan belanja antara RM20,000 hingga RM30,000 sebagai persediaan untuk pembakaran mayat.

"Atas perbelanjaan yang telah pun dikeluarkan keluarga, saya sendiri akan bayar pampasan itu. YB (Kulasegaran) boleh maklumkan terus (kepada keluarga), esok pun kita boleh sampaikan (pampasan) sebab mereka sudah buat persiapan.

"Tak adil untuk mereka kerana bukan anak mereka yang meninggal dunia. Mungkin mereka ini keluarga susah, belanja RM20,000 itu besar.

"Jadi saya akan selesaikan dalam tempoh kurang 48 jam," katanya ketika menjawab hal yang dibangkitkan Kulasegaran, semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin turut menjelaskan pihak keluarga dipanggil untuk mengenal pasti mayat di Hospital Sungai Buloh namun bedah siasat mungkin telah menyulitkan proses mengenal pasti mayat.

Dia mengakui ada unsur kecuaian dan kelemahan dalam sistem yang menyebabkan kesilapan berlaku.

Justeru, dia berkata telah mengarahkan sebuah jawatankuasa siasatan ditubuhkan untuk menelitinya.

"Kita akan sentiasa ambil langkah penambahbaikan, jika sistem sedia ada tidak memadai dari segi proses identifikasi dan jika kita perlu teroka idea-idea lain, kata terbuka (dengannya)," katanya lagi.

Dalam perbahasan hari ini, Kulasegaran menggesa satu siasatan bebas dibuat terhadap insiden tersebut.

Pada 5 Mac lalu, sebuah keluarga di Negeri Sembilan, setelah beberapa hari dimaklumkan berkenaan kematian seorang anggota keluarga ketika ditahan di Penjara Sungai Buloh pada 28 Februari lalu, dikejutkan selepas mendapati dia sebenarnya masih hidup.

Beberapa jam sebelum membakar mayat yang diterima dari hospital, mereka dimaklumkan oleh pihak penjara menerusi panggilan video bahawa lelaki berusia 19 tahun itu ada dalam sel tahanannya.

Bapa lelaki itu dipetik Sinar Harian sebagai berkata, dia mendapati keadaan wajah anaknya setelah bedah siasat berbeza "kerana ada kesan jahitan selain rambutnya telah dibotakkan".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS