Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Kementerian Pengangkutan menafikan kerajaan membatalkan projek Aerotropolis Kedah sebaliknya menegaskan permohonan mengenainya tidak pernah dikemukakan kepada kerajaan.

Menjelaskan hal itu dalam sesi penggulungan kementerian itu hari ini Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tidak berbangkit isu kerajaan membuat pembatalan tersebut.

"Tak dibatalkan (sebaliknya) tak ada permohonan... tidak timbul soal kita (kerajaan) batalkan (tetapi projek itu) tak dipohon," katanya.

Dia yang juga ahli parlimen Seremban memberitahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri memberitahu projek tersebut tidak dibatalkan.

"Tak ada permohonan (justeru) macam mana nak cakap ia dibatalkan?" tambahnya.

Loke berkata jika kerajaan Kedah mendakwa ada pelabur yang mahu membangunkan Aerotropolis Kedah wajar untuk negeri terbabit membawa pihak yang berkenaan untuk mengadakan pertemuan.

Aerotropolis Kedah merupakan projek pembangunan mega yang turut membabitkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Pembangunan bandar maritim

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ia berpotensi tinggi untuk menarik kemasukan pelaburan asing melalui pembukaan kawasan perindustrian baru berasaskan industri berteknologi tinggi aeroangkasa dan penerbangan.

Untuk melaksanakan projek itu, katanya, kerajaan Kedah perlu mendapatkan kebenaran Putrajaya khususnya melibatkan urusan pengambilan tanah.

Bidang kuasa untuk membangunkan projek berkaitan lapangan terbang pula, tambah Sanusi, terletak bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

Semasa membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Feb lalu Anwar mengumumkan cadangan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor.

Anwar berkata pembesaran dua lapangan terbang itu dijangka memanfaatkan pertumbuhan ekonomi pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan pembinaan KXP yang dianggarkan berbelanja RM7 bilion, sekali gus tidak boleh dipertimbangkan dalam keadaan sekarang.

Muhammad Sanusi Md Nor

Loke memberitahu jika benar ada pelabur yang berminat membangunkan Aerotropolis Kedah kerajaan terbuka dan mahu berbincang secara membina mengenainya.

"Kerajaan nak engage secara konstruktif.

"Kalau ada pelabur yang nak melabur Aerotropolis Kedah, silakan (berbincang)," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Loke mempertahankan cadangan pembinaan pelabuhan baru di Pulau Carey, Selangor, dengan menganggap ia perlu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Loke berkata Pelabuhan Westport - satu daripada pelabuhan sedia ada di Pelabuhan Klang - akan mencapai kapasiti puncaknya dalam tempoh 15 tahun lagi.

"Pelabuhan Pulau Carey ialah projek untuk masa depan, bukan sekarang. Terdapat rancangan untuk membina pelabuhan yang lebih besar dan ia merupakan projek jangka panjang untuk negara.

"Apabila projek ini dimulakan, ia akan membawa limpahan pembangunan di Kuala Langat akan agak hebat.

“Ia melibatkan kawasan yang luas dan ia merupakan bandar berkonsepkan maritim," katanya.

[Baca laporan penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS