Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perlu lihat seluruh sistem, bukan isu PM pegang portfolio kewangan saja'

Sejumlah ahli parlimen PN membangkitkan semula kritikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung kebiasaan perdana menteri memegang portfolio kewangan pada masa lalu.

Menurut mereka, namun Rafizi kini sebahagian daripada kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turut menjadi Menteri Kewangan.

Rafizi membalas kritikan itu dengan berkata aspek tata kelola yang baik bukan sekadar tentang perdana menteri memegang portfolio kewangan, namun perlu melihat keseluruhan sistem.

"Soal tata kelola, pihak PN dan (ahli parlimen) Putrajaya (Radzi Jidin) longgokkan seolah-olah segala-galanya berkisar mengenai jika menteri kewangan adalah orang yang sama dengan perdana menteri. Sedangkan kita ada keseluruhan sistem yang perlu dilihat.

"Apa yang perlu dilihat ialah bagaimana langkah-langkah yang telah diambil yang menunjukkan kecenderungan perdana menteri," katanya.

Rafizi berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Radzi dan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) kemudian membangkitkan dia pernah mengkritik amalan itu, terutama ketika pentadbiran Najib Razak.

Mempertahankan pentadbiran semasa, Rafizi berkata di bawah kepimpinan Anwar, tiada campur tangan dalam badan penguatkuasaan dan ia membezakan kerajaan sekarang dengan ketika Najib menjadi perdana menteri.

"Itu lebih penting daripada sama ada menteri kewangan juga (orang sama dengan) perdana menteri," katanya.

Katanya lagi, Anwar juga telah membatalkan semua projek yang diberikan secara rundingan terus dan membukanya semula menerusi tender terbuka.

"Sudah tentu saya tahu ada kebimbangan tetapi saya yakin ahli parlimen, anggota pentadbiran daripada kerajaan campuran yang (terdiri daripada) parti-parti berbeza ini dan juga rakyat akan terus memerhati setiap gerak geri Anwar," katanya.

Rafizi yang juga timbalan presiden PKR sebelum ini telah pun mempertahankan keputusan Anwar untuk turut memegang portfolio kewangan, dengan berkata ia disebabkan situasi “luar biasa” politik semasa di Malaysia.

Langkah itu adalah untuk tidak menimbulkan rasa tidak puas hati mana-mana parti komponen dalam kerajaan perpaduan, katanya ketika itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS