Perarakan Chingay Pulau Pinang, yang merupakan antara perarakan jalanan terbesar di tapak warisan dunia Unesco itu, kini kembali bagi menampilkan elemen seni dan budaya terbaik negeri ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata perarakan itu yang dijadual berlangsung pada 11 Mac ini, akan bermula 7 malam dari Padang Brown dan berakhir di Lebuh Light, berhadapan Bangunan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang.
“Tahun ini kerajaan negeri memutuskan untuk mengembalikan perarakan ini bagi meraikan pemulihan dan ketahanan masyarakat kita daripada pandemik (Covid-19). Perarakan sentiasa menjadi sumber kegembiraan dan kebersamaan dalam masyarakat, justeru kami komited untuk memastikan ia diadakan semula dengan cara yang selamat serta penuh tanggungjawab," kata Yeoh dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang juga akan bekerjasama rapat dengan pelbagai badan kerajaan dan polis untuk meminimumkan gangguan kepada lalu lintas dengan meningkatkan rondaan serta langkah kawalan bagi memastikan aliran berjalan lancar bagi kedua-dua pihak iaitu perarakan dan pengguna jalan raya.
“Perarakan tahun ini akan menampilkan elemen seni dan budaya terbaik di negeri ini dengan kibaran bendera chingay berwarna-warni, persembahan kebudayaan, pakaian tradisional yang mempesonakan dan diakhiri dengan persembahan bunga api,” katanya.
Selain itu, katanya terdapat juga gerai makanan yang akan dibuka dari 5 petang hingga 11 malam di Padang Kota, berdekatan Lebuh Light.
- Bernama