Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
P Pinang tetap calonkan anak bekas orang kuat MIC jadi senator

Kerajaan Pulau Pinang menamakan anak bekas orang kuat MIC sebagai seorang daripada dua calon senator dari negeri itu walaupun ia tidak disenangi sesetengah penyokong akar umbi DAP.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini Ketua Menteri Chow Kon Yeow (PH-Padang Kota) membentangkan usul untuk mencadangkan Dr Lingeshwaran RA dan Amir Ghazali sebagai senator baru.

Kedua-dua mereka dicalonkan bagi mengisi kekosogan Lim Hui Ying dan Fadhlina Sidek yang meletak jawatan pada 4 Nov tahun lalu untuk bertanding dalam PRU ke-15.

Fadhlina merupakan ketua Wanita PKR dan dilantik sebagai menteri pendidikan selepas memenangi kerusi parlimen Nibong Tebal, manakala Lim (Tanjong) menjadi timbalannya.

Usul Chow disokong Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PH-Pinang Tunggal) sebelum ia diluluskan sebulat suara.

Kerajaan Pulau Pinang yang mempunyai dua kuota untuk dicalonkan sebagai senator, masing-masing satu untuk DAP dan satu untuk PKR.

Lingeshwaran (kiri) dan Amir Ghazali

Untuk rekod, Lingeshwaran merupakan anak kepada R Arunasalam, seorang ahli perniagaan terkenal dan bekas orang kuat MIC di Pulau Pinang.

Chow memberitahu DUN, doktor perubatan berusia 36 tahun itu merupakan pengarah Hospital Sungai Bakap dan sebelum ini bekerja di pelbagai jabatan di hospital Pulau Pinang selain berkhidmat di jabatan kesihatan negeri.

Amir ialah setiausaha politik kepada bekas ahli parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Dia juga merupakan ketua penerangan PKR Pulau Pinang selain setiausaha kehormat Pemadam Pulau Pinang sejak 2019.

Ada perlembagaan, proses sendiri

Semalam, kira-kira 24 cawangan DAP Pulau Pinang berhimpun di hadapan ibu pejabat parti terbabit unuk menyatakan secara terbuka penolakan pencalonan Lingeshwaran.

Mereka mendakwa Lingeshwaran hanya menyertai DAP empat bulan lalu dan tidak memberi sebarang sumbangan kepada parti. Mereka juga mempersoalkan latar belakang keluarganya yang sangat dengan dengan MIC.

Ahli akar umbi DAP itu turut kecewa hati dengan keputusan parti mengetepikan calon yang telah bekerja keras untuk parti selama bertahun-tahun.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Setiausaha Organisasi DAP Steven Sim menjelaskan isu itu telah dibincangkan secara menyeluruh di pelbagai peringkat kepimpinan.

Steven Sim

Salah satu badan yang meneliti isu tersebut ialah jawatankuasa dianggotai lima pemimpin kanan DAP iaitu setiausaha agungnya, Anthony Loke, Lim Guan Eng (pengerusi), Gobind Singh Deo (timbalan pengerusi) M Kula Segaran (naib pengerusi) dan Nga Kor Ming (ketua ahli parlimen).

"Mereka yang hadir memberikan pandangan mereka secara bebas dalam mesyuarat itu," katanya.

Sim turut menggesa ahli DAP supaya menghormati perlembagaan parti kerana jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) telah memberikan mandat penuh kepada jawatankuasa lima orang itu pada 11 Okt tahun lalu untuk memutuskan semua perkara berkaitan pencalonan.

“Kita parti demokrasi, semua orang boleh menyuarakan pandangan mereka melalui saluran yang sepatutnya.

"Tetapi kita harus ingat kita mempunyai perlembagaan dan proses kita sendiri.

“Semua orang mesti menghormati itu. Sebaik sahaja keputusan dibuat, kita bersolidariti bersama," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS