Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri cadang wujudkan pasar raya harga berpatutan, libatkan hartawan

PARLIMEN | Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub mencadangkan agar pasar raya dengan harga barang yang berpatutan diwujudkan dengan kerjasama hartawan di Malaysia.

Salahuddin menyuarakan cadangan itu ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang bertanya jika inisiatif Jualan Rahmah - iaitu program jualan murah oleh pasar raya yang mengambil bahagian - akan diteruskan.

Menjawab soalan itu, dia memberi contoh pasar raya di negara-negara luar yang menawarkan konsep jualan barangan dengan harga berpatutan tetapi dengan kualiti yang sama dengan pasar raya lain.

“Tentang jangka masa panjang, saya sudah mula berfikir sekiranya syarikat-syarikat pasar raya, bukan hanya dalam negeri tetapi multinasional seperti Lotus dan Aeon Big...kenapa tidak kita cuba untuk wujudkan pasar raya untuk mampu milik (harga berpatutan)?

“Saya pernah melawat United Kingdom UK dan Amerika Syarikat, ada pasar raya yang menjual barang secara berpatutan kerana barang-barang yang mahal adalah berjenama tapi kualiti tetap sama, keuntungannya juga agak menggiurkan untuk (syarikat) turut serta.

“Insya-Allah kita akan adakan lebih lagi libat urus. Kita ada ramai billionaire dalam negeri kita ini, kenapa tidak mereka melabur dalam pasar raya untuk beri manfaat kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Salahuddin berkata sebanyak 30 pasar raya besar di negara ini telah menyertai inisiatif Payung Rahmah sejak dilancarkan pada Januari lepas, yang turut merangkumi Menu Rahmah, Program Jualan Rahmah dan Pakej Rahmah.

Salahuddin berkata sama seperti Menu Rahmah, inisiatif Jualan Rahmah juga dilaksanakan pasar raya secara sukarela, di mana kementeriannya tidak memaksa mana-mana pihak untuk terlibat.

“Kita mendapat kerelaan daripada kedua-dua pihak barulah jualan itu dapat kita laksanakan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS