Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata secara prinsipnya dia tidak menolak peruntukan sama rata kepada anggota parlimen kerajaan dan pembangkang.

Anwar berkata dia sentiasa konsisten berkaitan perkara itu dan menafikan menolak tuntutan yang dibuat ahli parlimen pembangkang.

Dia sebaliknya berkata tiada tiada sebarang perbincangan dibuat berkaitannya.

“Saya cadangkan ada proses rundingan...pada prinsipnya, saya tidak menolak memberi peruntukan kepada pembangkang sepertimana diberi pada kerajaan. Itu pendirian saya dari dulu.

“Tapi proses rundingan belum berlaku, yang ada proses permusuhan. Saya usul mulakan rundingan melalui ketua whip...kalau selesai esok, lusa kita lulus,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dari Shahidan Kassim (PN-Arau), ketika waktu pertanyaan kepada perdana menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Shahidan dalam soalan tambahannya membangkitkan isu peruntukan sama rata yang perlu diberikan kepada ahli-ahli parlimen pembangkang, terutamanya kawasan yang terjejas dengan banjir baru-baru ini.

Dia sebelum itu mempertikaikan prinsip kerajaan yang dilihatnya bertentangan dengan konsep keadilan.

Membalas kritikan itu, Anwar kemudian membuat perbandingan sewaktu kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin apabila ahli parlimen pembangkang turut menerima nasib yang sama.

“Tentang peruntukan, saya tidak pernah mengatakan tidak ada. Sepanjang Pagoh (Muhyiddin) menjadi PM, kita (pembangkang sebelum ini) tak dapat peruntukan, tapi tak apa, tak apa.. kita Madani, maknanya Madani mesti adil.

“Maknanya Pagoh tak adillah, itu maksud Arau? Maknanya Arau kata jangan ikut pengalaman lama yang tak beri peruntukan kepada pembangkang kerana itu tidak adil,” katanya.

Sebelum ini, gesaan agar kerajaan menyalurkan dana kawasan kepada ahli parlimen pembangkang disuarakan daripada kedua-dua ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Antara ahli parlimen kerajaan yang lantang bersuara mengenainya merupakan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang menggesa Anwar "melakukan perkara yang betul" dan meminda undang-undang untuk menjadikannya automatik untuk mengeluarkan peruntukan yang sama kepada semua penggubal undang-undang.

Hassan turut memetik contoh ahli Parlimen pembangkang menangani banjir di kawasan mereka tanpa sebarang peruntukan kerajaan, dan bagaimana ia boleh menjejaskan pengundi mereka secara tidak adil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS