Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN seperti sahkan ada yang tak betul dalam Umno - pengadu
Diterbitkan:  Mar 7, 2023 10:13 AM
Dikemaskini: 4:23 AM

Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengecualikan peruntukan pembatalan pendaftaran terhadap Umno “mengesahkan” terdapat ketidakaturan dalam pemilihan Umno, kata Aizat Fikri Nasir Fikri.

Pemfail notis bantahan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu berkata secara logiknya jika tiada pelanggaran terhadap Akta Pertubuhan 1966, menteri tidak perlu menggunakan kuasa bagi mengecualikan peruntukan pembatalan pendaftaran itu.

Kata anggota Umno Kuala Nerus itu, ROS boleh menghantar surat memaklumkan tiada pelanggaran berlaku sahaja.


Baca: Umno dikecualikan daripada pembatalan pendaftaran


“Sejujurnya saya agak kecewa dengan tindakan ini memandangkan kerajaan dan kepimpinan hari ini yang dikatakan sangat mengangkat kedaulatan undang-undang, telah menggunakan kuasa bagi memastikan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan sebagaimana yang sepatutnya dijalankan melalui proses demokrasi,” katanya.

Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan kuasa budi bicaranya untuk mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftaran.

Dalam kenyataan pagi tadi, dia berkata KDN mengecualikan Umno daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 kepada Umno.

Seksyen 13 berkaitan pembatalan sesebuah pertubuhan.

Ia berhubung usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Pertimbang semakan kehakiman

Sementara itu, dalam kenyataan sebentar tadi, Aizat Fikri berkata dia akan berbincang dengan seorang lagi pengadu Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom dan peguam bagi mempertimbangkan semakan kehakiman terhadap keputusan menteri itu.

Aizat Fikri dan Fiqri Firdaus memfailkan bantahan mereka pada 20 Jan lalu dengan mendakwa resolusi tiada pertandingan untuk dua jawatan terutama parti sebagai tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

Pemilihan Umno akan bermula hujung minggu ini bermula dengan pemilihan calon-calon bagi jawatan dalam sayap-sayap parti.

Bagi naib presiden–jawatan tertinggi yang dipertandingkan kali ini–berlaku pertembungan lapan penjuru termasuk dua penyandang Mohamed Khaled Nordin dan bekas Mahdzir Khalid.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob tidak mempertahankan jawatan itu walaupun sebelum ini disebut-sebut mungkin mahu mencabar jawatan presiden.

Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk mencabar Zahid. Bagaimanapun dia telah dipecat daripada parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS