Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Hadi cenderung remehkan pihak tak disukainya

ULASAN | Presiden PAS Abdul Hadi Awang sering tersilap dalam banyak perkara walaupun dilihat sebagai tokoh agama yang faham isi kandungan al-Quran dan isu teologi.

 Kesilapan besar sebegini boleh membawa kepada fitnah dan juga berniat jahat atau “mala fide”, sebagaimana disebut dalam bahasa Latin.

Perlu diingatkan rakyat Malaysia sangat menghormati institusi diraja, institusi kerajaan, polis dan tentera. Ini dicerminkan dalam pentadbiran berpanjangan kerajaan terdahulu pada peringkat persekutuan dari tahun 1955 hingga 2018. Sejarah kemudiannya dilakar pada 2018 di mana PH menamatkan pemerintahan BN yang lama.

Bagaimanapun, kenyataan Hadi yang menjangkakan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi jelas menunjukkan presiden Pas tersebut tersilap dan cenderung meremehkan sesiapa sahaja yang tidak disukainya.

Kerajaan pimpinan Anwar – yang pentadbirannya bermula lebih 100 hari yang lalu – dilawan oleh sekumpulan penentang yang bagai berseru di padang pasir. Golongan ini berusaha meyakinkan diri mereka bahawa kerajaan akan tumbang. Kemenangan Anwar menyebabkan ramai orang, sama ada pundit dari Asia Times atau penganalisis dasar di Barat, secara sinis mengatakan bahawa kerajaan tidak dapat bertahan lama, apatah lagi 5 tahun.

Pengkritik kerajaan PH adalah yang pertama menyuarakan perkara tersebut. Mereka ini adalah orang yang mengatakan “semua inisiatif dasar ekonomi PM bakal gagal dalam masa beberapa minggu, anda lihat sahaja”, dan mereka inilah yang hilang wang deposit ketika PRU ke-15 lepas.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika kerajaan kesuntukan masa untuk menghimpunkan semua gabungan pada awal Disember lalu. Namun, sebaik sahaja kabinet dibentuk, semua berlumba untuk mempamerkan kesungguhan mereka dalam menangani cabaran pentadbiran dan berjaya membuktikannya sehinggalah sekarang.

Kecenderungan memburukkan sesiapa sahaja yang bukan ahli Pas atau PN kini muncul kembali dalam diri Hadi apabila menjelang 100 hari pentadbiran kerajaan perpaduan yang telah mendapat sokongan penuh Majlis Raja-raja Melayu. Ini bermaksud perkhidmatan awam di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong perlu mematuhi titah Baginda dalam mendukung kepimpinan Anwar.

Tiada tanda sebarang bantahan daripada mana-mana ahli gabungan yang membentuk kerajaan perpaduan terhadap Belanjawan 2023 yang dibentangkan 24 Februari lalu. Oleh itu, dakwaan Hadi yang kerajaan akan tumbang bila-bila masa sahaja hanyalah sikap sinis dan angkuhnya di dalam dan di luar Parlimen.

Kecuali kata-kata dan “amanat” dari Hadi dan mereka yang seangkatan dengannya, tiada apa pun yang orang lain lakukan dianggap betul. Kita tidak boleh lupa dengan Amanat Hadi yang pernah memecahbelahkan orang Melayu Islam. Hingga kini, Hadi masih tidak menunjukkan penyesalan atas perbuatannya yang membawa kepada masalah cerai-berai, solat dua imam dan putusnya hubungan kekeluargaan.

Megalomaniac istilah yang tepat untuk menggambarkan kecacatan personaliti seperti ini. Hadi dan kepercayaannya melambangkan politik Islam yang ekstrem dan kedudukannya sekarang adalah hasil ucapan berbaur kebencian yang dibuat.

Kedua, Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara gabungan Kerajaan Perpaduan kini merangkumi undang-undang antilompat parti.

Sebarang percubaan untuk meninggalkan pakatan yang menyokong kerajaan perpaduan akan mencetuskan pilihan raya yang mana jawatan yang sedia disandang akan hilang. Perlu diingat juga bahawa dalam kerajaan, perdana menteri juga menjadi menteri kewangan dan dia terpaksa meningkatkan belanjawan keseluruhan sebanyak 16.8 peratus kerana mengambil kira kemungkinan berlakunya kemelesetan global.

Umno telah memecat beberapa orang ahlinya pada Januari lalu tanpa memberi kesan buruk kepada pentadbiran Anwar. Ini membuktikan dia mengetuai kerajaan perpaduan dengan cekap. Umno juga tidak menjadi kucar-kacir kerana memilih untuk menyokong Anwar dan bukannya Perikatan Nasional (PN).

Ketiga, pemimpin dunia telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada perdana menteri. Presiden Indonesia Joko Widodo, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Presiden China Xi Jinping adalah antara mereka yang menyokong, selain beberapa ahli G7 dan G20 yang lain.

Perkara ini tidak terjadi semasa di bawah pentadbiran perdana menteri yang sebelumnya. Begitu juga dengan pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tempoh perkhidmatannya hanya 13 bulan. Oleh itu, ia bukan tanpa sedikit ironi bahawa Hadi mencadangkan bahawa kerajaan perpaduan pimpinan  Anwar akan tumbang.

Ini kerana pentadbiran Pas dan Bersatu tidak mempunyai kesepaduan dan kepentingan nasional yang diperlukan, berbeza dengan pentadbiran sekarang yang disokong oleh undang-undang antilompat parti dan MOU.

Sebelum ini, PN sentiasa menantikan ahli-ahli parlimen PH untuk menyertai mereka, selain yang terlibat dengan Langkah Sheraton pada 29 Februari 2020. Hanya Dr Xavier Jayakumar sahaja yang akhirnya menyertai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Lapan daripada 11 orang ahli Parlimen yang terlibat dalam pengkhianatan ini telah ditendang keluar oleh rakyat semasa PRU lepas.

Pentadbiran PN akhirnya tumbang dek mereka sendiri.

Tetapi ini tidak mungkin berlaku kepada kerajaan perpaduan yang semakin kukuh serta bersedia untuk menewaskan PAS dan Bersatu pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Kini, setelah belanjawan dibentangkan, Anwar akan mengetuai kerajaan dalam melancarkan usaha perangi rasuah dengan lebih sistematik dan berasaskan bukti.

Hadi seharusnya mula mempersoalkan dirinya sendiri, kenapa dia menjadi sebahagian daripada dua kerajaan tersingkat dalam sejarah Malaysia, jika dia masih percaya yang kerajaan perpaduan akan tumbang bila-bila masa.

Hanya kerana Hadi menjadi sebahagian daripada dua pentadbiran paling lemah dalam sejarah Malaysia, tidak bermakna yang kerajaan perpaduan akan mengalami nasib yang sama. Ini dapat dilihat melalui usaha Anwar menyatukan Umno, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hakikatnya, majoriti dua pertiga sokongan yang diperoleh Anwar, yang pertama sejak 2005, bukanlah satu kebetulan.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pemikir politik dari semua pihak yang membentuk gabungan kerajaan perpaduan bagi memberikan Anwar kelebihan yang boleh digunakan untuk menghentikan kehancuran Malaysia, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai alternatif dalam dunia Islam dan Asia Pasifik yang tidak pernah bebas daripada persaingan geopolitik antara kuasa-kuasa besar.

Hadi perlu berhenti daripada menggunakan kaedah yang lapuk dan tidak jujur dalam memperdagangkan Islam demi kepentingan politik partinya. Sebaliknya, bersikaplah sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab dan lakukan apa yang betul untuk negara dan semua.

Pintu taubat sentiasa terbuka.


DR RAIS HUSSIN adalah presiden dan CEO EMIR Research, badan pemikir bebas berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS