Pemimpin Bersatu mengecam tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan usul untuk mengisytiharkan kekosongan empat kerusi Dun yang disandang Perikatan Nasional (PN).
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, DAP dan Umno cuba menghapuskan prinsip semak dan imbang menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Menurutnya tindakan tersebut, yang menyebabkan pembangkang hanya memiliki satu kerusi DUN adalah tidak selaras dengan semangat undang-undang antilompat parti.
"Ini bagi saya adalah satu titik hitam dalam sejarah negeri Pulau Pinang yang mana kerajaan DAP dan Umno menghapuskan sebarang kemungkinan untuk adanya semak dan imbang agar mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk dalam menghadapi PRN.
"Saya harap rakyat lihat betapa zalim dan rakus kerajaan PP dalam mengekalkan kuasa. Saya yakin mahkamah rakyat akan putuskan mereka patut ditolak dalam PRN nanti," kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu kepada pemberita di parlimen.
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pagi ini meluluskan usul untuk mengisytiharkan empat kerusi yang disandang Perikatan Nasional dikosongkan.
Kerusi berkenaan disandang oleh Afif Bahardin ( Seberang Jaya ), Zulkifli Ibrahim ( Sungai Aceh ), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq ( Bertam ) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang ) - bertanding atas tiket Pakatan Harapan pada PRU 2018.
Dua daripada mereka, Afif dan Zulkifli sebelum ini merupakan wakil rakyat PKR tetapi kemudiannya menyertai Bersatu.
Khaliq dan Zolkifly pula merupakan Adun Bersatu tetapi parti itu keluar daripada PH pada 2020.
Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, senator Razali Idris berkata usul supaya empat wakil rakyat PN mengosongkan kerusi mereka tidak sepatutnya dikenakan kepada Adun Bersatu kerana mereka tidak melompat parti.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin membidas tindakan DUN Pulau Pinang meluluskan usul mengosongkan kerusi empat wakil rakyat Bersatu itu.
Dakwanya, langkah itu satu penyalahgunaan kuasa yang bermotifkan politik.
Kedua-dua Adun Bersatu itu, kata Hamzah tidak pernah pada bila-bila masa meletak jawatan atau dipecat daripada parti itu atau pun telah menyertai parti politik lain.
"Hak demokrasi rakyat dan pengundi telah dinafikan. Ini adalah suatu rampasan kuasa pengundi oleh DUN Pulau Pinang dengan berselindung di sebalik undang-undang.
"Walaupun Bersatu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak permohonan keempat-empat Adun ini, kami dinasihatkan dan mempercayai bahawa mahkamah telah terkhilaf dalam menafsirkan pemakaian Artikel 14A ke atas mereka dan Bersatu telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut," katanya lagi.