Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes LHDN: Mahkamah dengar rayuan Najib, anak pada 14 Jun

Mahkamah Persekutuan menetapkan semula tarikh ke 4 Jun depan bagi mendengar rayuan oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin untuk membatalkan penghakiman ringkasan berkaitan cukai terhadap mereka.

Peguam mereka, Wee Yeong Kang mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Mahkamah Persekutuan telah mengosongkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini pada 13 Mac.

“Semasa pengurusan kes hari ini di hadapan timbalan pendaftar Suhaila Haron, Mahkamah Persekutuan menjadualkan semula tarikh perbicaraan kepada 14 Jun.

"Perbicaraan akan dijalankan melalui (aplikasi) Zoom," kata peguam itu.

Peguam kanan hasil Al-Hummidallah Idrus, Ainur Mardhiah Ramli dan Qhistina Mohd Apandi mewakili kerajaan, yang merupakan responden dalam rayuan itu.

Ringkasan penghakiman, yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020, membenarkan tindakan sivil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan RM1.69 bilion dan RM37.6 juta masing-masing daripada Najib dan anaknya, sambil mengetepikan keperluan untuk pertimbangkan pembelaan kedua-dua mereka terhadap saman itu.

Bagaimanapun, terdapat perintah Mahkamah Persekutuan sedia ada untuk menangguhkan ringkasan penghakiman ini, sementara menunggu penyelesaian rayuan kedua-dua mereka di hadapan Mahkamah Persekutuan.

Rayuan kedua-dua mereka pada dasarnya bertujuan untuk mereka membatalkan ringkasan penghakiman tersebut dan dibenarkan mengemukakan pembelaan mereka terhadap saman cukai itu.

Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan sebelum ini di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept 2021 untuk membatalkan ringkasan penghakiman tersebut.

Prosiding kebankrapan, yang dimulakan oleh LHDN terhadap Najib dan Nazifuddin di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, juga kini ditangguhkan, sementara menunggu rayuan utama kedua-dua mereka diselesaikan.

Isu utama yang dibangkitkan dalam rayuan itu ialah sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 106, secara amnya, memberi kuasa kepada LHDN untuk memulakan tindakan sivil di mahkamah bagi mendapatkan semula tunggakan cukai dan penalti daripada pembayar cukai.

Seksyen 106(3) secara khusus menyatakan bahawa berhubung dengan tindakan sivil LHDN untuk mendapatkan semula cukai, mahkamah “tidaklah boleh melayan apa-apa rayuan bahawa amaun cukai yang dicari untuk didapatkan kembali adalah berlebihan, ditaksir dengan tidak betul, di bawah rayuan atau dinaikkan dengan tidak betul."

Perkara 121 adalah berhubung dengan kuasa badan kehakiman di Malaysia.

Dalam rayuan mereka, Najib dan pasukan peguam Nazifuddin berhujah bahawa Seksyen 106(3) adalah tidak berperlembagaan kerana ia menghilangkan kuasa mahkamah (seperti Perkara 121) untuk mempertimbangkan pembelaan seorang pembayar cukai terhadap tindakan sivil LHDN untuk mendapatkan semula cukai itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS