PARLIMEN | Wakil rakyat pembangkang yang membahaskan bajet hari ini menggesa kerajaan mempertimbangkan lebih banyak insentif kewangan untuk doktor wanita menjadi pakar sakit puan dan perbidanan.
Wan Razali Wan Nor (PAS-Kuantan) berkata dia mencadangkan langkah itu bagi menangani “dilema” yang dihadapi wanita Islam ketika bersalin, pada masa yang sama mengambil maklum sumbangan semua doktor yang terlibat dalam proses itu.
"Di sini saya mencadangkan agar pihak KKM mencari jalan menarik lebih ramai doktor pakar perbidanan yang diisi golongan wanita itu sendiri.
"Kita semua sedar bahawa bidang ini amat penat kerana kitaran tugasnya hampir setiap minit.
"Namun, bagi menarik minat mereka, mungkin pihak kementerian boleh menawarkan gaji yang berbeza atau imbuhan tambahan agar mereka berminat dalam bidang ini. Jika kita tidak mulakan sekarang, bila lagi?
"Sampai masanya untuk kita menghargai wanita yang banyak berkorban untuk kita semua. Kita kena sedar tanpa wanita iaitu ibu kita sendiri, kita tiada dalam dewan pada hari ini,” kata Wan Razali di Dewan Rakyat.
Wanita yang bersalin di hospital swasta mempunyai pilihan untuk memilih doktor pilihan mereka, termasuk meminta doktor wanita manakala pilihan yang sama tidak akan tersedia di hospital kerajaan.
Bagaimanapun, hanya jururawat wanita dibenarkan membantu wanita di wad bersalin, perbidanan dan sakit puan di semua hospital kerajaan.
Isu berkaitan yang dibangkitkan pada masa lalu termasuk aurat atau anggota badan wanita Islam yang tidak boleh didedahkan kepada lelaki yang bukan muhrim dan persoalan jika bersalin atau kecemasan perubatan lain merupakan pengecualian terhadap hukum tersebut.