Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan patut boleh jimat RM1 bilion untuk mangsa banjir - Muhyiddin
  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Kerajaan mampu menyelamatkan dana sebanyak RM1 bilion daripada wang yang diperuntukkan untuk penambahan RM500 ke dalam akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),  kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin. 

Peruntukan itu sebaliknya boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir, katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023.

“Sebenarnya, pencarum tak mohon suntikan RM1 bilion ini tapi mereka hanya mohon untuk KWSP mereka dibenarkan untuk dikeluarkan secara bersasar. 

“Kalau itu diluluskan, kerajaan boleh menyelamatkan RM1 bilion dan boleh bagi pada kawasan-kawasan yang hadapi banjir yang teruk untuk digunakan untuk selamatkan mangsa-mangsa yang ada,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Sewaktu pembentangan Belanjawan 2023, Menteri Kewangan Anwar Ibrahim mengumumkan untuk menambah RM500 ke dalam Akaun 1 pencarum KWSP berumur antara 40 dan 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dengan jumlah peruntukan RM1 bilion.

‘Manifesto tak tergambar dalam belanjawan’

Sementara itu, Muhyiddin (PN-Pagoh) turut mengkritik kandungan belanjawan dan membandingkannya dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam pilihan raya umum lalu. 

Antaranya dia berkata dalam manifesto PH, terdapat janji untuk dana peruntukan kawasan sama rata kepada semua wakil rakyat.

Selain itu, katanya, terdapat komitmen untuk menghapuskan “kartel” dalam sektor makanan dan keperluan asas bagi membasmi kegiatan mengaut keuntungan melampau dan janji bagi menambah peruntukan program sarapan percuma. 

“Ini semua tak disentuh dalam ucapan pembentangan… mungkin ia tidak penting bagi YAB Tambun (Anwar),” katanya. 

Anwar dan manifesto PH

Ketika membangkitkan perkara tersebut, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berdiri untuk mencelah, tetapi presiden Bersatu itu tidak mengizinkannya kerana ingin bergegas pulag ke kawasannya. 

Muhyiddin kemudian menyambung dengan mempersoalkan ketiadaan janji manifesto BN sebagai parti gabungan dalam kerajaan.

Antara perkara itu, katanya, janji untuk mengkreditkan secara automatik setiap bulan dalam akaun isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208. 

“Saya nak tanya, beranikah YAB Tambun mengakui bahawa janji-janji manifesto PH sekadar retorik sahaja,” soalnya. 

Sementara itu, dia juga menyifatkan pembentangan belanjawan kali ini tidak komprehensif dan gagal menyentuh masalah sebenar rakyat, terutamanya isu kos sara hidup, jaminan masa depan ekonomi dan kebajikan mereka. 

“Bagaimana rakyat hendak berdepan dengan situasi perbelanjaan berganda menjelang pembukaan semula sekolah, ketibaan bulan puasa dan persediaan menghadapi Aidilfitri yang semakin hampir? 

“Semua ini terpaksa dilalui rakyat dalam keadaan beban kos sara hidup yang terus meningkat dan kadar inflasi yang tinggi. 

“Kita tidak mendengar apakah penyelesaian sebenar kepada masalah kos sara hidup rakyat daripada pembentangan belanjawan ini,” katanya. 

Katanya, isu berkenaan sepatutnya menjadi agenda utama perdana menteri tetapi Anwar didakwa tidak serius dengan masalah rakyat. 

“YAB Tambun ambil sikap acuh tak acuh saja dalam nak menyelesaikan kos sara hidup rakyat… saya dimaklumkan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) akhir sekali (diadakan) 13 Disember (dan) tak ada mesyuarat sampai sekarang ini. 

“Kalau serius, (adakan) mesyuarat dua minggu sekali, itu menunjukkan ada keseriusan,” katanya. 

Dia kemudian menyentuh beberapa isu yang melibatkan kebajikan peneroka Felda, yang dianggapnya seolah-olah diabaikan kerajaan.

Isu itu antaranya inisiatif pelupusan hutang RM8 bilion peneroka Felda oleh kerajaan PN sebelum ini, yang tidak diteruskan oleh kerajaan sedia ada.

“Saya tidak fikir inisiatif pelupusan hutang yang dilaksanakan oleh kerajaan PN dahulu memberi kesan besar kepada aliran tunai Felda kerana hutang-hutang itu adalah hutang lapuk, di samping Felda juga telah menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion yang dijamin oleh kerajaan. 

“Sepatutnya dengan sukuk yang diterbitkan untuk memulih dan meningkatkan daya saing Felda, Felda mempunyai kemampuan untuk meneruskan inisiatif pelupusan hutang peneroka yang telah dimulakan oleh kerajaan PN," katanya. 

Pada 28 Okt 2020, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed sewaktu pentadbiran kerajaan Muhyiddin berkata jemaah menteri telah meluluskan cadangan penerbitan sukuk oleh Felda bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan Felda. 

“Saya tak faham kenapa sebahagian daripada peneroka Felda ni telah pun dihapuskan hutang? Tapi kalau sekarang dia kata tak boleh dihapuskan, ada lagi yang tak diselesaikan, kan menjadi aniaya tu,” kata Muhyiddin.  

Pada masa sama, dia turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menyentuh mengenai inisiatif-inisiatif lain untuk warga Felda dalam belanjawan, termasuk perumahan generasi kedua. 

“Mungkin kerana dalam PRU15 hampir sebahagian besar daripada pengundi di Felda menyokong PN. 

“Tapi saya nak ingatkan jangan aniaya mereka (peneroka Felda), mereka manusia, mereka nak hidup, keadaan mereka susah. Apalah buat hal-hal sebegini,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS