Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kementerian Pendidikan telah menambah bilangan sekolah yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Katanya, langkah itu selaras dengan "dasar sifar penolakan" yang melindungi hak pelajar berkeperluan khas untuk menerima pendidikan.

Pada masa ini terdapat 2,632 sekolah yang menawarkan program berkenaan, meningkat daripada 2,343 sekolah pada 2018.

Angka itu adalah tambahan kepada 28 sekolah rendah dan enam sekolah berkeperluan khas menengah di seluruh negara dengan pengambilan 2,710 pelajar tahun lepas.

“Dasar Penolakan Sifar merujuk kepada penempatan persekolahan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan tanpa menafikan hak mereka untuk menerima pendidikan di sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550], semua murid termasuk MBPK berhak untuk menerima pendidikan yang relevan dengan keupayaan mereka," kata Lim semasa sesi pemberitahuan pertanyaan Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying

Dia menjawab soalan Hasnizan Harun (Perikatan Nasional-Hulu Selangor) yang bertanyakan tentang langkah-langkah yang diambil untuk menangani peningkatan bilangan pelajar berkeperluan khas di sekolah.

Lim juga berkata kerajaan telah menambah peruntukan untuk pendidikan keperluan khas, daripada RM2.3 juta pada 2018 kepada RM34.07 juta pada 2019 dan RM39.61 juta pada 2020.

Tahun-tahun berikutnya mencatatkan sedikit penurunan peruntukan bagi menyelenggara kemudahan yang disediakan untuk murid berkeperluan khas - RM33.5 juta pada 2021 dan RM28.2 juta tahun lalu.

Tambahnya, sokongan lain yang ada untuk pelajar berkeperluan khas termasuk elaun RM150 untuk pemegang kad OKU dan masa tambahan yang diperuntukkan semasa peperiksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS